JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Ditemukan Maut Selepas Tetak Seorang Lelaki  

02/03/2026 09:58 PM

GEORGE TOWN, 2 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang disyaki terbabit dalam insiden menyerang seorang individu di sebuah restoran ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah, di sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia 58 tahun dalam keadaan berlumuran darah membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus pada 6.30 pagi, selepas ditetak oleh individu dikenali di sebuah restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus.

Beliau berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil maklumat diberikan oleh mangsa, polis kemudian telah ke sebuah rumah di Solok Codrington pada 8.05 pagi bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba polis menemukan seorang lelaki berusia 68 tahun yang disyaki suspek dalam kes itu telah meninggal dunia … ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizee berkata senjata yang digunakan dalam kejadian itu ditemukan dalam tong sampah di kawasan Pasar Pulau Tikus, kira-kira 50 meter dari lokasi serangan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu kewangan antara mangsa dan suspek, dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529651