EKONOMI

Insurans Risiko Perang Bagi Kapal, Kargo Melonjak Sewaktu Ketegangan Di Timur Tengah

02/03/2026 05:34 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) – Industri maritim global sedang memantau dengan teliti peningkatan ketegangan di Timur Tengah dengan insurans perlindungan risiko perang terhadap badan kapal serta kargo melonjak mendadak sebagai tindak balas mengikut situasi semasa.

Ketua Bahagian Marin Aon Asia yang berpusat di Singapura Stephen Rudman berkata penanggung insurans untuk risiko bagi perang marin bertindak pantas terhadap peningkatan pergolakan geopolitik di sana.

Katanya, premium tambahan (AP) untuk perlindungan perang terhadap badan kapal bagi kapal yang melintasi perairan berisiko tinggi turut meningkat mendadak dan ia merupakan satu perkembangan yang tidak menentu dalam jangka pendek.

"Perlindungan risiko perang terhadap kargo yang melindungi barangan di atas kapal, masih tersedia tetapi kadar meningkat dan sebut harga sedang dikaji berdasarkan setiap perjalanan terutamanya untuk perdagangan tenaga dan komoditi pukal," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah berdasarkan pemerhatian, tindakan yang diambil oleh penanggung insurans pada waktu ini termasuk pengeluaran notis pembatalan rasmi di bawah klausa perang tujuh hari standard ke atas polisi perang badan kapal tahunan tertentu.

Selain itu, pembatalan atau semakan semula AP yang disebut harga untuk transit kawasan berisiko tinggi seperti yang disenaraikan.

"Tindakan utama lain yang kami pantau adalah pembaharuan perlindungan yang ditawarkan pada kadar tinggi secara ketara dan pemeriksaan lebih teliti oleh penanggung insurans untuk pelayaran ke atau berhampiran zon sensitif, termasuk kemungkinan keperluan kelulusan untuk melintasi kawasan berisiko terlebih dahulu," katanya.

Rudman berkata tindakan ini berkaitan secara khusus dengan lanjutan risiko perang manakala perlindungan utama untuk badan kapal, jentera serta perlindungan dan ganti rugi (P&I) kekal seperti sedia ada.

Beliau memberitahu walaupun ketegangan semakin meningkat, tiada pembatalan insurans secara sistemik.

Namun, pasaran sedang menilai semula harga untuk mencerminkan profil risiko yang lebih tinggi dan kekangan insurans yang diperbaharui.

"Jika situasi semakin meningkat secara material seperti konflik negara yang berpanjangan atau kerugian terhadap kapal yang ketara, pembetulan kadar selanjutnya mungkin berlaku," tambahnya.

Menurut laporan media, premium atau harga insurans meningkat lebih daripada 50 peratus manakala sesetengah pihak membatalkan polisi.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada penyedia perkhidmatan setakat ini.

Sementara itu, beberapa organisasi maritim antarabangsa menasihatkan kapal-kapal supaya mengelak kawasan yang terjejas dengan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Presiden Persatuan Pemilik Kapal Malaysia dan Persekutuan Persatuan Pemilik Kapal ASEAN Mohamed Safwan Othman berkata banyak kapal kini mengelak daripada melintasi Laut Arab dan mengubah laluan melalui Tanjung Harapan di Afrika Selatan.

"Seperti konflik-konflik terdahulu, kapal dijangka mengambil laluan alternatif yang lebih panjang untuk mengelak kawasan yang terjejas," katanya.

Serangan oleh AS dan Israel ke atas Iran meningkatkan risiko keselamatan dengan ketara bagi kapal-kapal yang beroperasi di Teluk Parsi dan perairan sekitarnya sementara dunia menunggu langkah balas dari Iran.

Selat Hormuz, satu daripada laluan maritim paling penting di dunia menyaksikan penurunan ketara dalam trafik dengan pelbagai kapal berpatah balik di Teluk Oman dan dalam selat itu sendiri.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Arsenio Dominguez mengeluarkan kenyataan iaitu menggesa semua syarikat perkapalan supaya mengambil langkah berjaga-jaga secara maksimum.

"Jika boleh, kapal-kapal harus mengelak daripada melintasi kawasan yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih," katanya.

Di tanah air, Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengeluarkan amaran dengan menggesa semua kapal yang berdaftar Malaysia dan syarikat perkapalan tempatan untuk berhati-hati termasuk mengelak transit melalui Selat Hormuz sehingga diberitahu kelak.

Namun, Mohamed Safwan berkata setakat ini, tiada impak segera terhadap kapal-kapal di perairan Malaysia dan rantau ini susulan keputusan Iran untuk menutup Selat Hormuz.

"Kami hanya menjangkakan gangguan segera rantaian bekalan akibat kelewatan ketibaan kapal jika konflik ini berpanjangan," tambahnya.

Syarikat perkapalan Denmark, Maersk mengumumkan penangguhan lintasan kapal di Selat Hormuz susulan laporan penutupan selat tersebut selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran.

Ia berkata semua kapal yang berlayar dari Timur Tengah, India ke Laut Mediterranean dan Timur Tengah, India ke Pantai Timur AS akan diarahkan melalui Tanjung Harapan sehingga pemberitahuan lanjut berikutan "situasi yang tidak selamat".

Begitu juga, Mediterranean Shipping Company (MSC) menggantung semua tempahan untuk kargo global ke rantau Timur Tengah sehingga pemberitahuan lanjut.

Menurut penyedia risikan maritim global, Lloyd's List, trafik merentas semua sektor melalui Selat Hormuz menurun sebanyak 38 peratus pada Sabtu dengan 72 kapal pembawa kargo melebihi 10,000 tan berat mati (dwt) melintasi titik sesak yang menghubungkan Teluk Timur Tengah ke Laut Arab/ Lautan Hindi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529529