KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Keadaan perniagaan dalam sektor pembuatan Malaysia menjadi sederhana buat pertama kali dalam tempoh empat bulan pada Februari 2026 berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global, yang menurun kepada 49.3, di bawah ambang neutral 50.0.
PMI mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan iaitu 50.2 pada Januari.
Dalam satu kenyataan, Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Maryam Baluch berkata sektor itu mencatatkan keadaan bulan yang mencabar dengan syarikat-syarikat melaporkan penyusutan dalam pengeluaran dan pesanan baharu.
Beliau berkata walaupun beban kos meningkat, pengeluar menekankan kepentingan untuk memulihkan permintaan dan memilih untuk menawarkan diskaun kepada pelanggan.
“Walaupun penurunan harga pengeluaran hanya sedikit, ini boleh membantu syarikat mendapatkan perniagaan baharu dalam beberapa bulan akan datang,” tambah beliau.
S&P Global juga menekankan isu tempoh penghantaran yang lebih lama sehingga 15 bulan.
“Kesesakan di pelabuhan dan kontena, kelewatan pelepasan kastam serta beban kerja pembekal yang meningkat adalah antara faktor yang dikaitkan dengan kemerosotan prestasi vendor terkini,” katanya.
Bagaimanapun, ia berkata unjuran pengeluaran dalam kalangan pengeluar Malaysia kekal optimis, dengan syarikat-syarikat berharap keadaan permintaan yang bertambah baik akan memberi kesan kepada pertumbuhan pengeluaran.
-- BERNAMA