SHAH ALAM, 2 Mac (Bernama) -- Polis menahan sembilan warga tempatan termasuk tiga wanita kerana dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel di Seksyen 3, di sini dua minggu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata semua suspek berusia 19 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Dengkil, Selangor; Sungai Petani, Kedah; serta Ipoh, Perak dari 23 hingga 26 Feb.
Beliau berkata penahanan sembilan individu tersebut sekali gus menyelesaikan kes serupa yang dilaporkan di Jinjang, Kuala Lumpur serta Kupang dan Padang Serai, Kedah.
“Semakan mendapati sebahagian besar daripada mereka mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kes curi kabel, samun serta dadah, termasuk dua suspek yang masih dikehendaki bagi kes di Subang dan Perak.
“Selain itu, ujian saringan air kencing mengesahkan tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata polis turut menyita tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori, 12 batang kabel dan 20 unit kulit kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi serta pemotong kabel, kapak dan besi yang diubah suai sebagai pembuka lubang penyelenggaraan.
Beliau berkata sindiket itu juga didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti ves dan baju berlogo syarikat telekomunikasi, lampu serta topi keselamatan, selain siasatan lanjut turut menemukan dokumen transaksi jual beli dan salinan resit bank berjumlah RM60,000.
“Semua suspek akan dituduh esok di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.
Shazeli berkata polis kini memburu baki tiga lagi suspek lelaki warga tempatan berumur 29 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan polis giat mengesan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kabel di sekitar Seksyen 3, di sini.
Kejadian itu yang tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan sebilangan individu dengan menggunakan beberapa kenderaan, termasuk pacuan empat roda untuk mencuri kabel pada waktu malam.
-- BERNAMA