JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Miliki 21 Ekor Burung Murai Batu Di Tumpat

03/03/2026 08:32 PM

KOTA BHARU, 3 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 21 ekor burung murai batu yang dianggarkan bernilai RM133,700 selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Tengah, dekat Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah Tiga, Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata serbuan pada kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam dalam operasi bersama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

“Pemeriksaan dan geledah di premis kediaman itu menemukan 21 ekor burung murai batu atau nama saintifiknya Copsychus malabaricus yang disimpan dalam 21 sangkar berasingan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, yang mengaku sebagai pemilik hidupan liar dilindungi mengikut Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan 2022), ditahan selepas gagal mengemukakan lesen pemilikan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shafiki berkata kejayaan itu merupakan kes kedua membabitkan kesalahan berkaitan hidupan liar yang direkodkan PPM Wilayah Tiga bagi tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530019