ABU DHABI, 2 Mac (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penutupan Kedutaannya di Tehran dan penarikan balik Duta Besarnya ke Iran bersama semua anggota perwakilan diplomatiknya susulan serangan misil Iran yang menyasarkan wilayah UAE, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Serangan terhadap tapak awam, termasuk kawasan kediaman, lapangan terbang, pelabuhan dan fasiliti perkhidmatan, telah membahayakan orang awam yang tidak bersalah dalam peningkatan yang serius dan tidak bertanggungjawab serta merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan negara, selain jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kementerian Luar (MoFA) menegaskan bahawa keputusan itu mencerminkan pendirian UAE yang tegas dan tidak berbelah bahagi terhadap sebarang pencerobohan yang mengancam keselamatan dan kedaulatannya.
Keputusan itu dibuat kerana tingkah laku provokatif dan bermusuhan yang berterusan, yang melemahkan usaha menenangkan keadaan dan mendorong rantau ini ke arah situasi yang sangat berbahaya, mengancam keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa, termasuk keselamatan tenaga dan ekonomi global.
-- BERNAMA-WAM