GAYA HIDUP

Unity Music Fest ‘Namma Kaigeh 2.0 Extended Rai Perpaduan Menerusi Persembahan Pelbagai Bahasa

02/03/2026 06:20 PM

Oleh Sankara Subramaniam

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Unity Music Fest: Namma Kaigeh 2.0 Extended menonjolkan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia dengan menghimpunkan artis daripada pelbagai latar belakang etnik dalam sebuah konsert pelbagai bahasa yang bertujuan memupuk perpaduan melalui muzik dan seni persembahan.

Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Feb lalu, konsert itu menampilkan penyanyi, penari dan pemuzik yang mewakili pelbagai komuniti, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan menerusi kolaborasi seni.

Dianjurkan oleh RG Creations, persembahan itu merupakan versi lanjutan konsert Namme Kaigeh (NK1.0) yang diadakan di Stadium Chin Woo di sini pada 8 Okt 2022 dan menerima sambutan luar biasa peminat.

pic-2

“Antara tarikan utama Unity Music Fest: Namma Kaigeh 2.0 Extended ialah konsep silang budaya, di mana artis mempersembahkan lagu dalam bahasa yang bukan daripada latar budaya mereka sendiri.

“Festival ini bertujuan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia dengan menghimpunkan artis dan penonton daripada pelbagai latar budaya melalui muzik dan seni,” kata penganjur dalam kenyataan kepada Bernama.

Pada konsert itu, segmen artis Melayu menyanyikan lagu Tamil dan Hindi, sementara penyanyi India dan Cina pula mempersembahkan lagu-lagu Melayu, mempamerkan identiti pelbagai budaya Malaysia di atas satu pentas.

Penonton turut dihidangkan persembahan tarian dan muzik tradisional menggunakan alat-alat muzik seperti kompang, urumi (alat muzik India) dan dram Cina.

pic-3

Para artis yang terlibat ialah Santhesh, Darkkey, Zubir Khan, Roshini, Buggimaan, Psycomantra, AG Paranjothy dan Suki Low, selain persembahan daripada Vehaara Saveera Arts.

Konsert itu menampilkan lagu-lagu popular termasuk “Kathal Kathal Thedi” dan “Makhluk Tuhan Paling Sexy” nyanyian Roshini, “Shi Mian” dan “Kaulah Segalanya” oleh Suki Low, serta “Per Yenne Solle” dan “OMK (Oh My Kathale)” dendangan Zubir Khan.

Santhesh turut mempersembahkan lagu “Amalina” dan “Kathi Mele Kathi”, manakala Darkkey memukau penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu “Maravana”, “Akkamageh” dan “Magarita”.

Lebih 200 individu merangkumi artis, pemuzik, penghibur dan kru produksi terlibat dalam penganjuran festival itu yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures menerusi Dana Persembahan Muzik.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529583