DUNIA

Konsulat Jeneral Jeddah Buka Bilik Operasi Pantau Perkembangan Terkini Rakyat Malaysia

02/03/2026 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Jeddah pada Isnin membuka Bilik Operasi susulan konflik yang melanda rantau Timur Tengah.

KJM berkata bilik operasi itu dibuka bagi memantau secara dekat perkembangan terkini rakyat Malaysia di Wilayah Barat Arab Saudi yang terkesan, terutamanya mereka yang terkandas disebabkan oleh pembatalan penerbangan.

Bilik Operasi itu mula beroperasi pada 9 pagi, katanya dalam satu kenyataan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Bilik Operasi KJM Jeddah di talian +966 126 727 740 | +966 573 099 589 yang beroperasi secara 24 jam atau e-mel kepada mwjeddah@kln.gov.my.

KJM di Jeddah turut menasihatkan rakyat Malaysia di Arab Saudi supaya terus peka dengan perkembangan semasa dan kekal tenang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529547