JENAYAH & MAHKAMAH

Keselamatan Kebakaran Tanggungjawab Bersama, Tidak Harus Diabaikan - Lee Lam Thye 

28/02/2026 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Api, meskipun memainkan peranan penting di rumah, kilang dan operasi perindustrian, boleh mengundang padah sehingga meragut nyawa jika aspek keselamatan tidak dititikberatkan, kata Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Tahunan 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 16,111 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara, dengan 76 peratus daripadanya melibatkan kebakaran struktur, mengorbankan 98 nyawa serta menyebabkan kerugian harta benda berjumlah RM2.09 bilion.

Lim berkata 55.4 peratus daripada jumlah kematian itu berlaku di premis kediaman.

“Penggunaan api tidak dapat dielakkan, dan kita juga tidak mampu menghindarinya… namun, walaupun api menyokong kehidupan moden, ia turut membawa risiko yang serius jika tidak diuruskan dengan betul,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara tahun 2018 hingga 2024, Malaysia merekodkan purata kira-kira 111 kematian membabitkan kebakaran setiap tahun, dengan kebanyakan insiden berlaku di premis kediaman.

“Walaupun kebakaran dalam sektor industri sering mengakibatkan kerugian kewangan yang besar, kebakaran kediaman kekal sebagai lokasi utama berlakunya tragedi kemanusiaan,” katanya.

Lee juga berkata Pelan Strategik 2026-2030 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2021-2030 serta Rancangan Malaysia Ke-13, menandakan peralihan daripada pendekatan keselamatan berasaskan tindak balas yang diukur melalui masa respons kepada pendekatan yang lebih menekankan pencegahan, berteraskan daya tahan komuniti serta konsep “memanusiakan keselamatan”.

Sehubungan itu, beliau berkata keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa, pereka bentuk, pembina, pemeriksa dan penghuni.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528849