KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Perumahan Batu Hampar di Manir dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan pada 4.12 petang yang memaklumkan berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Harrier dan sebuah basikal.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan mangsa Nur Adelia Qistina Mohd Shukri yang menunggang basikal mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Manir.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta yang sedang bergerak lurus dari arah rumahnya di Perumahan Batu Hampar ke Bazar Ramadan Batu Hampar terlanggar penunggang basikal yang keluar dari arah simpang kanan secara tiba-tiba.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu wanita itu tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri hadapan basikal,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA