AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat Kepada 5,532 Orang

27/02/2026 09:00 AM

KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di lima daerah di Sabah meningkat kepada 5,532 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 4,650 orang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan dalam kenyataan bahawa kesemua mangsa daripada 1,943 keluarga itu kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Rabu lepas.

Daerah Beaufort mencatat peningkatan jumlah mangsa kepada 1,456 orang daripada 510 keluarga berbanding 1,432 orang semalam dengan penambahan satu PPS baharu, iaitu Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan lima PPS dibuka di daerah Beaufort termasuk Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon. 

Di daerah Tenom, jumlah mangsa kekal tertinggi, iaitu 3,149 orang daripada 1,063 keluarga, berbanding 2,406 orang (795 keluarga) malam tadi.

Sementara itu, dua daerah lain tidak menunjukkan perubahan jumlah mangsa, iaitu Sipitang dengan 421 orang (176 keluarga), Sook sebanyak 79 mangsa (25 keluarga), manakala Membakut bertambah kepada 427 orang (169 keluarga). 

Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas akibat banjir di kelima-lima daerah berkenaan kekal sebanyak 146 kampung.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528234