KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi I: 2026/2027 ke program sijil dan diploma di 36 politeknik dan 106 Kolej Komuniti kini dibuka secara dalam talian hingga 27 Mac.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan permohonan melalui eBorang MyPOLYCC boleh dibuat mulai 5 petang hari ini hingga 5 petang 27 Mac ini menerusi pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my.
Tawaran itu terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 ke bawah, lulusan Sijil Politeknik, Sijil Kolej Komuniti, Sijil Vokasional Malaysia (Kolej Vokasional), sijil Institut Kemahiran Tinggi PERDA, sijil Institut Kemahiran MARA, sijil Institut Pertanian Malaysia serta lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
Menurut kenyataan itu, tawaran kini turut diperluas kepada lulusan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan lulusan SKM Tahap 2.
“Selain itu, kepada pelajar tamat pengajian tingkatan lima, sekolah pendidikan khas bagi kemasukan ke 12 program Sijil Khas Kemahiran bagi kumpulan murid Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditawarkan di lima politeknik dan 12 kolej komuniti.
“Bagaimanapun, pelawaan ini terhad kepada murid kategori masalah pendengaran dan masalah pembelajaran. Pemilik sijil Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) turut dipelawa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil dan diploma,” menurut kenyataan berkenaan.
JPPKK memaklumkan sebanyak 33,000 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian bagi sesi kali ini dengan tarikh pendaftaran pelajar baharu bermula 14 Jun bagi program asasi manakala 21 Jun bagi program diploma, sijil dan Sijil Khas Kemahiran.
Pada sesi kali ini, beberapa nama program dipinda meliputi Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) yang ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan Automasi) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik) kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik Perindustrian).
Pindaan turut melibatkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Perindustrian), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji Kuasa) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Optoelektronik) kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik.
Dalam pada itu, bagi memperkasakan program pengajian, JPPKK turut memperkenalkan Program Eksklusif NAVALTech@PSA melalui kerjasama antara Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Inisiatif dimeterai pada 20 Mei 2025 di bawah Nota Kerjasama (MoU) antara JPPKK dan TLDM itu bertujuan membekalkan tenaga kerja teknikal berkemahiran serta berdisiplin tinggi dengan menyasarkan pengambilan sebanyak 200 calon setahun bagi Skim Diploma Tugas Khusus (DTK) TLDM, iaitu lantikan ke skim juruteknik TLDM.
Program NAVALTech@PSA itu ditawarkan melalui empat program pengajian di PSA iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Industri), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan).
Sebarang pertanyaan tentang permohonan boleh diajukan kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK melalui talian 03-88883837, WhatsApp (03-88885625), e-mel (jppkk.ambilan@mohe.gov.my) atau akaun polyccofficial menerusi platform Facebook, Instagram, X dan Threads.
-- BERNAMA