KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Arab Saudi menyumbang kira-kira 30 tan kurma dan 25,000 naskhah Al-Quran kepada Malaysia sempena Ramadan 1447H, meneruskan inisiatif sumbangan tahunannya kepada negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata sumbangan itu mencerminkan hubungan kukuh dan harmoni antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Alhamdulillah, kita mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kerajaan Arab Saudi. Setiap tahun, kerajaan Saudi dengan murah hatinya menghadiahkan kurma kepada negara kita.
“Selain itu, mereka juga menyumbang al-Quran tahun ini. Kita mesti mengekalkan ikatan erat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama semasa majlis penyerahan sumbangan itu, di sini, dengan kehadiran Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osama Dakhil Al-Ahmadi dan wakil Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief), Raid Mohamad.
Zulkifli berkata kurma yang disumbangkan itu berasal dari Arab Saudi, termasuk varieti syukari, yang disifatkannya antara yang terbaik.
Beliau berkata sumbangan itu akan diagihkan sepanjang bulan puasa kepada masjid, surau dan institusi keagamaan di seluruh negara, manakala kerajaan Arab Saudi juga akan menaja program berbuka puasa untuk rakyat Malaysia sepanjang Ramadan.
-- BERNAMA