KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Dua lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan unit kereta peronda polis (MPV) menggunakan sebuah kereta jenis Volkswagen Passat berwarna hitam, ditahan di Jalan Taman Bukit Indah, Ampang pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata kejadian pada 12.30 tengah malam itu berlaku apabila kenderaan suspek yang sedang bergerak menghala ke arah ibu negara, tidak berhenti bagi pemeriksaan selepas diminta berbuat demikian.
"Setelah berjaya ditahan selepas dikejar, siasatan awal pihak polis mendapati suspek melarikan diri daripada pemeriksaan kerana membawa dadah disyaki heroin dan syabu serta peralatan untuk pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan penahanan itu, beliau berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad, selepas permohonan dibenarkan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pagi tadi.
Khairul Anuar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi kira-kira 30 saat memaparkan kereta suspek yang sedang dipandu laju dan diekori rapat oleh MPV yang memasang bunyi siren.
-- BERNAMA