JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Marin Rampas Mercun, Bunga Api Bernilai Lebih RM500,000 Di Muar

26/02/2026 09:28 PM

MUAR, 26 Feb (Bernama) -- Pasukan Polis Marin Wilayah Dua merampas 292 kotak mercun dan bunga api bernilai RM584,000 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Maharani, Muar petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata serbuan pada 3.45 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin susulan maklumat berhubung aktiviti penjualan serta penyimpanan bahan letupan tanpa permit sah. 

“Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang berada di dalam premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah kotak mengandungi mercun dan bunga api namun suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen penyimpanan bahan letupan yang sah.

Katanya suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528148