SUKAN

Skuad Penyu Diingatkan Supaya Tidak Ulangi Kesilapan Mudah

26/02/2026 03:24 PM

KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan mengingatkan anak buahnya supaya tampil lebih agresif dan tidak mengulangi kesilapan mudah apabila bertemu dengan Kuala Lumpur City FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok. 

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata kekalahan di tangan skuad The City Boys pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada 15 Feb lepas seharusnya menjadi pengajaran buat pemain agar tidak mudah leka sehingga melepaskan gol mudah kepada pihak lawan pada saat-saat akhir.

Beliau berkata selain itu, pemain juga perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus membaiki reputasi skuad Penyu di persada liga.

"Saya banyak tekankan dan buat pembetulan pada masa bertahan kerana pada pertemuan dengan KL City lepas, kita melepaskan gol mudah begitu sahaja.

"Selain itu, saya nampak pemain juga mudah hilang fokus dan ada masalah komunikasi sesama mereka. Kita tahu KL City dibarisi pemain yang baik, jadi kita perlu lebih waspada dan tak boleh ulangi kesilapan sama kali ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tengku Hazman yang juga bekas pemain kebangsaan berkata setakat ini, beliau belum memutuskan barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam esok memandangkan terdapat beberapa pemain yang dibelenggu kecederaan.

Bagaimanapun, beliau agak lega kerana tonggak tengah import Raianderson da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca dapat kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan.

"Saya perlu lihat dulu latihan akhir petang ini untuk tentukan skuad utama. Ada beberapa pemain yang cedera, tetapi tidak serius.

"Misi kita untuk kutip tiga mata penuh, terutama permainan di tempat sendiri. Untuk capai sasaran empat kelompok terbaik liga, kita tidak mampu lagi untuk keciciran mata," katanya.

TFC ketika ini menghuni tangga kelima Liga Super dengan 28 mata daripada 17 perlawanan, ketinggalan lima mata berbanding KL City FC yang berada di kedudukan ketiga.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527952