PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Peranan sektor veterinar semakin kritikal dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara ketika dunia berdepan cabaran rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan peningkatan kos pengeluaran makanan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan memaklumkan konflik di Asia Barat serta isu bekalan tenaga, logistik dan input pertanian seperti baja dan makanan ternakan telah mendorong peningkatan kos pengeluaran makanan serta memerlukan penyesuaian dalam pengurusan rantaian bekalan global.
"Keadaan ini secara tidak langsung menggalakkan negara pengimport makanan termasuk Malaysia untuk terus memperkukuh keupayaan pengeluaran domestik," menurut kenyataan itu sempena sambutan Hari Veterinar dan Hari Bertemu Pelanggan Tahun 2026 (SHV2026), di sini hari ini.
Sehubungan itu, DVS memaklumkan profesion veterinar memainkan peranan strategik dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa terjamin melalui pemantauan kesihatan ternakan, peningkatan produktiviti ladang, kawalan penyakit serta pelaksanaan amalan biosekuriti yang berkesan.
Kepakaran warga veterinar dalam mengurus kesihatan haiwan dan sistem pengeluaran ternakan adalah kunci kepada peningkatan tahap sara diri negara serta pengurangan kebergantungan kepada import makanan, menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan peranan itu merangkumi kawalan penyakit haiwan, pencegahan penyakit zoonotik, pemantauan keselamatan produk berasaskan haiwan serta sokongan kepada pembangunan industri ternakan yang mampan.
Selain itu, DVS memaklumkan warga veterinar turut menjadi tunjang dalam menyokong pendekatan "One Health" yang menghubungkan kesihatan haiwan, manusia dan alam sekitar secara holistik, khususnya dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan ekonomi negara.
Dalam pada itu, DVS memaklumkan tanggungjawab dan peranan jabatan itu turut diselaraskan dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang menetapkan sasaran kadar sara diri (SSR) bagi beberapa komoditi utama menjelang 2030, antaranya daging lembu atau kerbau sebanyak 50 peratus, daging ayam atau itik 140 peratus, telur ayam atau itik 123 peratus, susu segar 100 peratus, serta daging kambing atau bebiri 30 peratus.
Sempena sambutan berkenaan, lima kategori Anugerah Veterinawan Cemerlang turut disampaikan bagi mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan warga veterinar dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan, pendidikan, pembangunan industri ruminan, kebajikan haiwan serta pelajar perubatan veterinar.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian ilmu dan forum profesional yang menghimpunkan pakar industri veterinar dengan kerjasama Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) bagi membincangkan peranan strategik veterinawan dalam memperkukuh sistem agromakanan negara.
Bertemakan "Veterinarians: Guardians of Food and Health", sambutan tahun ini menekankan peranan penting profesion veterinar sebagai barisan hadapan dalam melindungi rantaian bekalan makanan bagi memastikan keterjaminan serta kesihatan masyarakat secara menyeluruh.
-- BERNAMA