DUNIA

Bandar Hue Vietnam Antara Destinasi Bulan Madu Paling Romantik Dunia

26/02/2026 06:44 PM

HANOI, 26 Feb (Bernama-VNA) -- Bandar Hue di Vietnam tengah disenaraikan sebagai antara 25 destinasi berbulan madu terbaik dunia menerusi Anugerah Terbaik Pilihan Pengembara oleh platform pelancongan dalam talian Tripadvisor.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan pengiktirafan itu melambangkan tahap kecemerlangan tertinggi dalam pelancongan.

Anugerah itu diberikan kepada destinasi yang menerima jumlah ulasan dan pendapat sangat baik yang tinggi daripada komuniti Tripadvisor dalam tempoh 12 bulan. Daripada lapan juta (destinasi) yang disenaraikan dalam platform itu, kurang daripada 1 peratus menerima penghormatan itu.

Terletak di sepanjang Sungai Huong ( bermaksud minyak wangi), Hue menawan pelancong dengan pesona zaman dahulu, suasana yang tenang dan indah iaitu elemen-elemen yang mewujudkan lokasi bulan madu ideal bercitra keanggunan dan kedamaian.

Menurut Tripadvisor, Hue terkenal dengan tapak sejarah kebanyakannya telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Platform tersebut menyarankan pengunjung meneroka tarikan di seluruh bandar, termasuk Imperial Citadel, Jambatan Thanh Toan yang berwarna-warni, makam diraja dan Tu Cam Thanh (Bandar Ungu Terlarang), yang dikhaskan untuk Raja, Permaisuri dan gundik diraja.

Destinasi lain dalam senarai 25 teratas termasuk Bali (Indonesia), Mauritius, Maldives, St. Lucia, Galle (Sri Lanka), Napa (Amerika Syarikat), Positano (Itali), Watamu (Kenya) dan Antigua.

-- BERNAMA-VNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528092