GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Dua pengarah syarikat perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 58 pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM320,337.84 termasuk penalti bagi tempoh bercukai antara 2019 sehingga 2024.
Ng Eng Chen, 64, dan Lim Paik Eng, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) iaitu pengarah syarikat Seng Cushion Sdn Bhd membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, syarikat dan dua pengarah itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 [Akta 806] iaitu gagal membayar cukai jualan melibatkan jumlah cukai RM228,812.83 dan penalti RM91,525.01 yang ditetapkan kepada Ketua Pengarah Kastam.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya antara 2019 sehingga 2024.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia S. Bakialetchumy manakala dua OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 April untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA