GAYA HIDUP

Festival Riuh Raya Baik-baik Dijangka Jana Lebih RM1.2 Juta Jualan

26/02/2026 12:05 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Festival Riuh Raya Baik-Baik yang menghimpunkan produk serta rekaan tempatan di bawah satu bumbung bersempena dengan Aidilfitri di Plaza Raintree, Tun Razak Exchange (TRX) di sini, dijangka menjana lebih RM1.2 juta nilai jualan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid berkata unjuran itu berdasarkan sasaran kehadiran kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang festival lima hari anjuran MyCreative Ventures dengan sokongan Kementerian Komunikasi.

pic-2

“Edisi Riuh kali ini bertemakan ‘Kampung Kita’ dan menghimpunkan lebih 110 vendor jenama tempatan yang menawarkan busana, aksesori serta pelbagai kelengkapan Aidilfitri, termasuk 30 pengusaha makanan dan minuman yang memeriahkan suasana dengan aneka sajian.

“Acara yang bermula semalam (25 Feb) berlangsung selama 12 jam setiap hari, dari 3 petang hingga 3 pagi, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung membeli-belah dalam suasana lebih santai pada waktu malam,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Beliau turut menggalakkan orang ramai merancang perjalanan serta menggunakan pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan kesesakan di sekitar lokasi penganjuran.

Zainol Haqim berkata pelbagai aktiviti diatur sepanjang festival berkenaan, termasuk bengkel kreatif dan persembahan artis seperti Aisha Retno, Ushera, Langkasuka, Kumpulan Couple dan Ramayan.

pic-4

“Sepanjang penganjuran bengkel, pengunjung berpeluang menghasilkan kad raya, menganyam ketupat, mempelajari asas jahitan serta menyertai pelbagai aktiviti lain yang disediakan secara percuma, selain mencuba permainan tradisional yang turut diketengahkan di festival ini,” katanya sambil memaklumkan lebih 20 bengkel kreatif dianjurkan sepanjang acara tersebut.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527809