JENAYAH & MAHKAMAH

3R: Bapa Suspek Buat Laporan Polis Bimbang Keselamatan Anak

25/02/2026 09:28 PM

KUANTAN, 25 Feb (Bernama) -- Bapa kepada penuntut universiti yang ditahan polis kerana disyaki memuat naik kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) menerusi media sosial membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan anaknya. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 50-an itu hadir ke balai polis bersama-sama anaknya yang berusia 21 tahun pada awal pagi tadi, juga memohon maaf kepada umat Islam. 

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ashari berkata suspek direman sehingga 28 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan penahanan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Islam menerusi platform media sosial Threads.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527581