KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Membakut menjadi daerah terbaru dilanda banjir di Sabah setakat tengah hari ini, susulan hujan berterusan sejak semalam.
Terdahulu, tiga daerah iaitu Sipitang, Sook dan Beaufort mula dilanda banjir pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan proses pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) sedang giat dijalankan.
Membakut, Sipitang, dan Beaufort adalah daerah di pantai barat Sabah terletak arah Barat Daya dari Kota Kinabalu manakala Sook merupakan daerah di pedalaman negeri itu.
Sementara itu, situasi banjir di Pitas tidak berubah dengan 1,695 orang daripada 861 keluarga masih berlindung di lima PPS setakat pagi ini.
-- BERNAMA