AM

Banjir Sabah: Mangsa Meningkat Kepada 3,617 Orang Tengah Hari Ini

26/02/2026 03:32 PM

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,617 orang pada 12 tengah hari ini berbanding 2,288 orang yang direkodkan 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa terdiri daripada 1,265 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan di lima daerah.

Tenom menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dan merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 1,848 orang daripada 647 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS). 

Mangsa di Beaufort bertambah kepada 948 orang daripada 292 keluarga berbanding 945 orang (291 keluarga) yang berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.

Jumlah mangsa di Membakut yang ditempatkan di dua PPS turut sedikit meningkat, iaitu sebanyak 321 orang (125 keluarga) berbanding 315 mangsa pada pagi tadi.

Jumlah mangsa di daerah Sook dan Sipitang tidak berubah dengan masing-masing merekodkan 79 mangsa (25 keluarga) dan 421 mangsa (176 keluarga).

Sementara itu, dua PPS di Pitas yang menempatkan 528 orang pagi tadi ditutup sepenuhnya selepas semua mangsa pulang ke kediaman masing-masing.

Secara keseluruhan, jumlah kampung yang terjejas banjir meningkat kepada 146 kampung berbanding 140 pada pagi tadi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527949