GAYA HIDUP

Siswazah Psikologi Ke Ladang Ayam Belanda: Hilmi Buktikan Pertanian Kerjaya Kelas Pertama

24/02/2026 11:11 AM

Oleh Syamsiah Sahat

PADANG RENGAS, 24 Feb (Bernama) -- Berpegang pada kepercayaan bidang pertanian mampu menjadi sumber pendapatan terjamin, Mohamad Zainul Hilmi Mohamad Wajdi tidak menyesal mengetepikan kerjaya selesa yang setaraf dengan kelulusannya kira-kira lapan tahun lalu.

Berkelulusan Sarjana Muda Psikologi daripada Upper Iowa University, Amerika Syarikat, usahawan ternak berusia 33 tahun itu juga mengambil langkah lebih berani apabila memilih mengusahakan penternakan ayam belanda, iaitu satu ternakan yang tidak begitu popular di negara ini.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, anak jati Kuala Lumpur itu berkata potensi penternakan ayam belanda di negara ini sebenarnya sangat luas, selain mempunyai permintaan tinggi, iaitu sekitar 6,000 ekor setiap kali tiba musim perayaan, terutama Krismas. 

pic-2

“Ayam belanda ini demand tinggi especially di region utara. Saya mula menternak ayam belanda dengan jumlah 80 ekor dan kini telah berkembang menjadi 2,000 ekor di atas tanah keluarga seluas kira-kira lima ekar sejak 2018,” katanya ditemui Bernama di ladang ternakannya Santing Agri Farm, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata ladangnya melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya mencipta baka Turki Kellas (Kellas Turkey), iaitu gabungan baka Nicholas, Black Spanish, Kelly dan Bronze Tempatan yang menghasilkan baka berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tropika Malaysia, tempoh lebih singkat untuk dituai dan daging berkualiti sesuai untuk pasaran premium.

Beliau juga menjalankan pembiakbakaan sendiri, iaitu menetaskan telur dan kebiasaannya seekor ayam belanda boleh menghasilkan hingga 70 biji telur setahun sebelum produktivitinya berkurangan sedikit daripada kebiasaan. 

pic-3

“Daging ayam belanda memang lebih pejal berbanding ayam biasa, rendah lemak dan kaya dengan protein. Biasanya ayam belanda ini mengambil masa empat hingga lima bulan sebelum boleh dijual di pasaran dengan berat tiga hingga enam kilogram, dan bagi pasaran hotel mereka akan ambil yang lebih berat,” katanya.

Dari segi harga katanya, ayam belanda hidup boleh dijual dengan harga RM25 hingga RM35 bagi setiap kilogram (kg) manakala bagi yang telah diproses RM55 ke RM75 setiap kg.

Mohamad Zainul Hilmi berkata setakat ini dengan teknik penternakan yang betul dan makanan yang diinovasi, penternakan ayam belanda syarikatnya membuahkan hasil lumayan, iaitu purata pendapatan RM15,000 hingga RM20,000 sebulan dan RM300,000 ke RM400,000 setahun.

pic-4

Lebih membanggakan, produk ayam belanda Santing Agri Farm berjaya menembusi pasar raya utama tempatan, iaitu Jaya Grocer dan Giant, selain pemborong tetap di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri utara.

Menceritakan suka duka serta cabaran dalam bidang penternakan, beliau berkata ketika mula berjinak-jinak, kecetekan ilmu menyebabkannya kerugian puluhan ribu ringgit apabila ratusan ayam belandanya mati akibat teknik penternakan yang salah.

“Bagi 12 minggu pertama ayam belanda memang ‘manja’ sedikit dan memerlukan penjagaan rapi. Ketika itu DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) hadir dengan sokongan khidmat nasihat dan ilmu penternakan, ada juga bantuan seperti Geran Agropreneur Muda dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang membantu dari segi pemasaran,” katanya yang turut menerima bantuan pinjaman daripada Agrobank berjumlah RM35,000 bagi membantu membesarkan skala penternakannya.

pic-5

Sementara itu, menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, setakat Januari tahun ini seramai 4,586 petani dan penternak di Perak telah menerima bantuan pembiayaan daripada Agrobank.

“Pembiayaan ini disalurkan melalui pelbagai skim dan dana yang ditawarkan mengikut keperluan serta kesediaan program pada tahun semasa, antaranya Micro Entrepreneur Fund (MEF), Agromakanan (Penjana & Pemulih), Skim Tanaman Semula Pekebun Kecil Sawit, Program Paddy-i serta Input Pengeluaran Agromakanan.

“Kesemua bantuan ini diberikan kepada petani dan penternak berdasarkan kelayakan serta kesesuaian skim yang ditawarkan pada ketika permohonan dibuat,” katanya.

pic-6

Beliau berkata Muhammad Zainul Hilmi telah menerima bantuan pembiayaan di bawah skim MEF pada 2024, bagi tujuan penambahan modal pusingan perniagaan untuk projek ternakan ayam belanda yang diusahakan.

Katanya, dari segi prestasi, Muhammad Zainul Hilmi menunjukkan tahap komitmen dan kerjasama yang baik dengan pihak Agrobank dan telah menyertai pelbagai program latihan, seminar dan bengkel yang dianjurkan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) bagi memperkukuh pengetahuan dalam aspek keusahawanan, pertanian moden dan perancangan kewangan.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526919