Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, kehadiran Ramadan tidak lengkap tanpa hidangan kuih-muih tradisional di meja berbuka, dan antara yang menjadi kegemaran ramai ialah tepung pelita dengan rasa lemak manis dan lembut yang membawa nostalgia mendalam buat sesetengah individu.
Justeru, tidak menghairankan jika ada pembuat tepung pelita mampu bertahan selama puluhan tahun di sebalik kemunculan ramai pengusaha baharu, antaranya ialah Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras yang diusahakan oleh Wati Abdul Rahman sejak 1999.
Permintaan terhadap kuih tradisional itu melonjak setiap kali Ramadan dengan hampir 150 ejen jualan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang memastikan pemanis mulut tersebut sampai di tangan penggemar setia.
pic-2
Seorang ejen jualan yang ditemui Bernama, Nurul Attirah Mohd Radzi, 33 berkata dia memilih berniaga jenama kuih itu bagi menampung pendapatan memandangkan perniagaan makanan sarapan yang diusahakan oleh keluarganya ditutup sepanjang Ramadan.
“Saya berniaga makanan pagi seperti bihun sup, mi kari dan lontong di tapak yang disewa di sebuah restoran, tetapi apabila masuk Ramadan perniagaan itu ditutup sebulan menyebabkan saya tiada pendapatan.
“Sebagai alternatif, saya berniaga Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras yang sememangnya menjadi antara kuih tradisional pilihan setiap kali Ramadan, dan Ramadan ini tahun keempat saya berniaga kuih itu,” katanya yang membuka gerai sementara di Jalan Gombak Batu 5, di sini.
pic-3
Berkongsi lanjut, Nurul Attirah berkata rutin perniagaannya bermula seawal 2 petang apabila dia memandu sekitar 50 kilometer pergi dan balik ke kilang kuih tersebut di Sungai Buloh, Selangor, bagi mengambil bekalan sebelum membuka gerai sekitar 4.30 petang hingga waktu berbuka puasa.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata setiap hari dia mampu menjual antara 15 hingga 18 dulang tepung pelita dengan setiap dulang mengandungi 70 biji kuih.
“Saya akan sesuaikan jumlah dulang setiap hari mengikut permintaan bagi memastikan jualan dapat dihabiskan,” katanya, menambah pada tahun-tahun sebelum ini dia mampu memperoleh kira-kira RM3,000 yang dibelanjakan untuk persiapan Aidilfitri.
pic-4
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Eira, 41, berkata dia telah menjadi ejen jualan Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras sejak 2015 sebagai sumber pendapatan tambahan sepanjang Ramadan.
Suri rumah itu berkata dia konsisten berniaga setiap Ramadan kerana permintaan terhadap kuih jenama tersebut sentiasa ada dalam kalangan pelanggan di sekitar kawasan perumahannya di Flora Damansara, Damansara Perdana meskipun ada pelbagai juadah berbuka yang lain dijual di situ.
“Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras ini memang menjadi pilihan kerana rasanya yang sedap dan berkualiti. Walaupun harganya kini lebih tinggi berbanding dahulu, pelanggan tetap mencari kuih ini,” katanya, menambah dia mampu menjual sebanyak 10 hingga 16 dulang sehari.
-- BERNAMA