Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Setiap kali mendengar kemerduan vokal dan lenggok nyanyian pemuda ini, pastinya akan mengubati kerinduan peminat terhadap kelunakan suara Allahyarham Ustaz Mohamad Asri Ibrahim, ikon nasyid yang pernah mencipta fenomena bersama-sama kumpulan Rabbani suatu ketika dahulu.
Memiliki ton dan aura yang mirip seakan vokalis utama perintis nasyid tanah air itu biarpun penampilan Abdul Shahid Mohd Zamiluddin tidak menyamai Allahyarham, kehadirannya tetap berupaya membangkitkan nostalgia mengenang kembali keunikan suara emas Ustaz Mohamad Asri.
Mula mencuri perhatian peminat lagu bergenre ketuhanan sejak 2009, nama Abdul Shahid semakin dikenali selepas aktif berkongsi rakaman nyanyiannya di TikTok menerusi akaun @shaheed_mohammed7 pada 2025, dengan video dendangan lagu Insaf mencatat hampir 700,000 tontonan.
Biarpun gembira dan bersyukur dengan persamaan vokal yang hampir menyerupai tokoh nasyid itu, lelaki berusia 41 tahun ini menyifatkannya ia bukanlah sesuatu untuk dibanggakan, sebaliknya satu anugerah yang hadir serta minat yang disemai sejak remaja.
pic-2
“Ada pengguna media sosial berkongsi, nyanyian saya mengingatkan mereka kepada arwah dan ada yang mengakui tersentuh sehingga menitis air mata. (Apa yang saya perolehi ini juga) hasil didikan arwah selepas mengenalinya semasa membuat persembahan dalam sebuah konsert nasyid bersama Rabbani.
“Saya ketika itu berusia 16 tahun dan guru agama yang mencungkil bakat saya, Allahyarham Azmi Suhaili meminta saya menyanyikan lagu Munajat bersama-sama Rabbani dalam satu persembahan di sekolah. Ustaz Asri memuji nyanyian saya serta menggalakkan saya meneruskan minat dalam nasyid,” katanya.
Teruja bercerita lebih lanjut kepada Bernama, bilal di Masjid Diraja Sultan Alaeddin, Kuala Langat, Selangor ini berkata pertemuan dengan tokoh nasyid itu tidak terhenti di situ tetapi berlanjutan apabila Allahyarham membimbingnya dalam teknik nyanyian, kawalan pernafasan serta lontaran suara.
pic-3
Pendedahan serta perkongsian ilmu itu banyak membentuk identiti vokal anak kelahiran Telok Panglima Garang ini dan daripada saat itu, protege Ustaz Mohamad Asri ini semakin yakin untuk tampil menyanyi di hadapan orang ramai termasuk menerima pelbagai jemputan.
Peluangnya untuk mengembangkan bakat dalam seni suara semakin terbuka luas, apabila Abdul Shahid bekerja sebagai juru audio di sebuah syarikat sistem bunyi selepas tamat persekolahan selain terlibat secara langsung dalam urusan teknikal pelbagai persembahan nasyid termasuk bersama-sama Rabbani.
Tidak bergerak sendirian, anak bongsu daripada lapan beradik itu kemudiannya melangkah lebih yakin dalam industri seni dengan menubuhkan dua kumpulan nasyid dengan rakan-rakannya, By-Duree dan Soufies serta telah menghasilkan beberapa buah lagu.
Biarpun begitu, penglibatannya dalam kumpulan nasyid berkenaan tidak dapat diteruskan sepenuhnya berikutan komitmennya sebagai bilal serta tanggungjawabnya dalam pengurusan masjid yang diceburi sejak usia 30 tahun selain faktor kesihatan yang dihadapinya.
pic-4
“Pada usia 36 tahun, saya juga mempunyai masalah kesihatan termasuk gangguan tidur (sleep apnea) yang menjejaskan stamina untuk berdiri lama, menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berhenti menerima jemputan persembahan,” katanya.
Tidak menafikan rindu untuk kembali beraksi mendendangkan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan, membuatkannya memilih medium media sosial khususnya TikTok sebagai pentas baharu untuk terus mengalunkan suara dan berkongsi minat dengan khalayak.
Sekadar mahu memuaskan impian di samping menyemarakkan lagi lagu-lagu nasyid dalam persada seni tanah air, lenggok vokal Abdul Shahid yang sederhana dan bersahaja berjaya mengimbau kembali keindahan nasyid klasik era 1990-an, sekali gus membangkitkan nostalgia dalam kalangan pendengar.
-- BERNAMA