KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad semasa prosiding kes tersebut hari ini.
Bagaimanapun Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata walaupun pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid itu, mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan tersebut sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam Malaysia.
Badan Peguam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes Ahmad Zahid itu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata sebarang keputusan Mahkamah Rayuan kelak akan mengikat keputusan kes berkenaan sekali gus Mahkamah Tinggi tidak bertanggungjawab untuk merampas kuasa mahkamah atasan.
"Persoalan isu berkepentingan awam memerlukan penentuan oleh mahkamah lebih tinggi. Jika mahkamah ini membuat keputusan berhubung permohonan pemohon (Ahmad Zahid), maka rayuan permohonan kebenaran Badan Peguam akan menjadi akademik seterusnya panel Mahkamah Rayuan mungkin tidak perlu mendengarnya lagi.
“Kita akan menunggu keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman Badan Peguam pada 8 April ini," katanya yang turut menetapkan 24 April depan untuk pendengaran permohonan Ahmad Zahid.
Terdahulu, Badius Zaman turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Badan Peguam menyerahkan surat bantahan terhadap permohonan Ahmad Zahid pagi ini.
Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Pok Teik, membantah terhadap bantahan Badan Peguam berhubung permohonan anak guamnya, seperti dinyatakan dalam sepucuk surat yang dihantar kepada mahkamah semalam dan diserahkan kepada pihak-pihak berkaitan pagi ini.
“Badan Peguam tidak mempunyai locus standi dalam kes jenayah ini dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengemukakan surat bantahan tanpa menyatakan peruntukan undang-undang yang menjadi rujukan,” katanya
Beliau berkata hal-hal jenayah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa pendakwa raya, sementara membenarkan Badan Peguam mengemukakan bantahan akan menghakis atau menjejaskan kuasa Peguam Negara selaku pendakwa raya.
Peguam itu selanjutnya menegaskan bahawa satu-satunya perintah yang boleh diberikan oleh mahkamah ialah pembebasan penuh memandangkan pendakwa raya telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut.
Peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam sebagai amicus curiae, berkata badan itu bukan pihak dalam permohonan berkenaan dan juga bukan pemohon.
Peguam itu menjelaskan kehadiran Badan Peguam sebagai amicus curiae bukan untuk memperjuangkan sebarang kepentingan tertentu, sebaliknya bagi menarik perhatian terhadap prosiding masih berjalan di Mahkamah Rayuan, yang mungkin menjadi akademik susulan keputusan hari ini.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan pembebasan penuh daripada 47 pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media pada 8 Jan lepas memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan tersebut membabitkan beliau.
AGC dalam kenyataan media pada 8 Jan lepas, memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan tersebut selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Pada 12 Jan lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Mohd Dusuki berkata keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara 'suka-suka' dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
-- BERNAMA