GAYA HIDUP

Platform Digital Jadi Medium Baharu Pengisian Ramadan

24/02/2026 10:49 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) --  Penghayatan Ramadan yang lazimnya dihidupkan melalui aktiviti di masjid dan surau kini berkembang ke platform digital apabila masyarakat semakin selesa mengikuti pelbagai pengisian ibadah secara dalam talian.

Perubahan itu menyaksikan media sosial dan aplikasi persidangan video dimanfaatkan sebagai ruang alternatif pengukuhan spiritual dengan kegiatan seperti tadarus, kuliah serta perkongsian doa harian, sekali gus membolehkan masyarakat mengikuti sesi ilmu dan ibadah tanpa kekangan lokasi dan masa.

Penceramah bebas dan pengasas komuniti Circle One, Jannatul Makwa Sutikislan, 30, antara yang memanfaatkan teknologi maklumat dengan mengadakan program tadarus dalam talian sejak 2023.

pic-2

Beliau berkata programnya menunjukkan peningkatan ketara jumlah peserta pada setiap Ramadan kerana kaedah itu memudahkan mereka mencapai matlamat khatam al-Quran secara berkumpulan walaupun sibuk dengan komitmen.

“Sesi diadakan setiap hari selepas tarawih melalui platform seperti Google Meet atau panggilan video WhatsApp, dengan setiap kumpulan dikendalikan seorang ketua yang dilantik. Peserta juga diberi fleksibiliti menggantikan sesi jika berdepan komitmen,” katanya, menambah tahun ini melibatkan 100 peserta dengan majoritinya wanita dan golongan muda berusia 30 tahun ke bawah.

Beliau berkata program itu turut memberi ruang kepada wanita uzur untuk terlibat melalui aktiviti tadabbur dan pendengaran bacaan bagi memastikan semua peserta memperoleh manfaat khatam al-Quran.

pic-3

“al-Quran tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan al-Quran. Walaupun sibuk atau tidak dapat keluar rumah, carilah masa dan platform untuk mendekati al-Quran,” katanya yang percaya platform digital membuka peluang lebih luas kepada masyarakat mendapatkan guru al-Quran selain membantu mereka yang tidak berpeluang menghadiri kelas secara bersemuka.

Pendekatan sama turut dimanfaatkan oleh guru dan pencipta kandungan digital Norsyazwa Riyana Shah Rol Rizal, 21, yang membuat perkongsian doa harian di semua akaun media sosialnya @riyanarzl.

Guru dari Batu Pahat, Johor itu berkata dia terdorong untuk menghasilkan siri doa harian secara lebih tersusun dan menyentuh hati sebelum memuat naik ke platform media sosialnya secara konsisten sejak 2024. 

pic-4

“Saya tidak menjangka sambutan yang begitu luar biasa, kerana perkongsian doa pertama hampir mencecah satu juta tontonan serta menerima respons yang sangat positif, mendorong saya untuk meneruskan aktiviti itu, bukan sahaja sepanjang Ramadan tetapi juga hari-hari mustajab lain seperti Hari Arafah dan malam 1 Rejab sebagai usaha menggalakkan budaya berdoa dalam kalangan masyarakat,” kata lepasan Diploma Pendidikan Islam dari Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim itu.

Norsyazwa Riyana berkata inisiatif itu juga menunjukkan media sosial kini bukan sekadar medium hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai saluran penyebaran ilmu dan nasihat yang semakin signifikan.

Perkembangan itu mencerminkan transformasi positif dalam pendekatan dakwah serta keterbukaan masyarakat terhadap pengisian rohani yang lebih mudah diakses dan dekat dengan gaya hidup semasa, katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526915