SUKAN

Danish Iftikhar Ada Dalam Program Podium – MA

23/02/2026 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee kini termasuk antara 21 atlet yang disenarai dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan menghadapi temasya akan datang, termasuk Sukan SEA malaysia 2027.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA) Nurhayati Karim yang menjelaskan penyertaan dalam Program Podium diberikan secara automatik kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan SEA, tanpa mengira warna.

“Danish memang tersenarai dalam Program Podium. Rakyat Malaysia perlu faham, program ini khusus untuk mereka yang memenangi pingat di peringkat Sukan SEA, jadi secara automatik mereka layak. Ya, termasuk yang menang gangsa. Surat tawaran akan diberikan kepada atlet, selagi syarat dipatuhi, dan atlet boleh mengambil peluang menyertai Program Podium MSN, ” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata seramai 21 atlet telah diluluskan dalam Program Podium, manakala 40 atlet lain disenarai dalam Program Pelapis bagi memperkasakan barisan pelapis menjelang Sukan SEA 2027.

Terdahulu, Danish Iftikhar dilaporkan tidak berada di bawah program MSN biarpun menunjukkan prestasi di temasya Sukan SEA 2025 dan SUKMA Sarawak 2024, dengan atlet berusia 19 tahun dari Johor itu hanya berada dalam program bakat negeri.

Beliau sebelum ini mencuri tumpuan apabila meraih dua pingat gangsa acara 100 meter (m) dan 200m, termasuk mencatat 10.26 saat (s) dalam 100m serta meleburkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s pada Sukan SEA 2025. 

Danish Iftikhar turut menyumbang pingat perak acara 4x100m bersama Alif Iman Fahmi, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam selepas mencatat masa 39.03s.

Beliau turut mencipta rekod peribadi terbaik 10.18s pada pusingan saringan 100m selain muncul juara SUKMA Sarawak 2024 bagi acara 100m.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526781