KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Statistik jenayah dalam talian mencatatkan lonjakan amat membimbangkan apabila jumlah kes meningkat hampir dua kali ganda kepada lebih 66,000 pada 2025 berbanding 35,000 pada tahun sebelumnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata jumlah kerugian yang dicatatkan turut melonjak mencecah hampir RM3 bilion pada 2025, satu angka yang disifatkan sebagai ancaman besar kepada ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat.
Rusdi berkata trend ini menunjukkan perubahan landskap jenayah yang ketara apabila 90 peratus daripada kes komersial yang disiasat kini melibatkan elemen dalam talian.
"Jika dilihat lima tahun lepas, kerugian adalah sekitar RM700 juta tetapi pada 2025 angka ini menghampiri RM3 bilion. Penjenayah kini mengeksploitasi kemudahan teknologi dan sistem kewangan yang pantas serta bersifat melangkaui sempadan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk “Jangan cemas, Jangan Panik: Fahami Jenayah Dalam Talian” terbitan Bernama TV, malam ini.
Beliau berkata jenayah dalam talian kategori pelaburan tidak wujud merupakan penyumbang utama kerugian kewangan dengan nilai mencecah RM1.5 bilion.
Sindiket sering menggunakan taktik psikologi "terlalu lumayan untuk dipercayai" dengan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, selain menyasarkan golongan pesara berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai simpanan besar.
Dalam pada itu, Rusdi turut memberi amaran keras terutama bagi golongan muda berusia 20 hingga 40 tahun supaya tidak membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh pihak ketiga.
Beliau berkata pindaan undang-undang melalui Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa sejak Oktober 2024 memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun bagi keldai akaun.
"Jangan gadaikan masa depan demi upah mudah, rekod jenayah ini akan kekal dan menyebabkan anda disenaraihitamkan oleh institusi kewangan serta menjejaskan peluang mencari pekerjaan," katanya.
-- BERNAMA