KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Cabaran Mara Lasak Pahang 2.0, yang kini memasuki tahun kedua penganjuran, dilihat menjadi platform penting untuk memperkukuhkan semangat berpasukan serta perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata program itu juga mampu mempromosikan keindahan alam semula jadi di negeri Tok Gajah, sekali gus merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan setempat.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Rekreasi Pahang berkata, penganjuran kali ini dijadualkan berlangsung pada 5 April depan di Felda Chini 1, Pekan, dengan jangkaan lebih 1,000 peserta mewakili 100 pasukan.
“Tahun lalu, cabaran ini dianjurkan buat kali pertama di Ulu Dong, Raub, dan menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya penganjuran acara ini diperluaskan ke daerah lain. Maka, pihak penganjur memilih Chini bagi pelaksanaan kali kedua program ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas mengenai kelainan penganjuran sukan lasak berkenaan pada tahun ini, beliau berkata setiap pasukan yang terdiri daripada tujuh peserta lelaki dan tiga wanita perlu menamatkan cabaran larian sejauh 15 kilometer sambil membawa bebanan lima kilogram.
Peserta juga bakal menempuh cabaran fizikal dan mental itu di kawasan denai, mendaki bukit dan merentasi ladang kelapa.
“Acara ini menuntut tahap kerjasama tinggi dalam kalangan ahli pasukan, di mana peserta perlu bermula dan mengakhiri acara secara bersama tanpa meninggalkan seorang pun ahli mereka,” katanya.
Lima kategori dipertandingan tahun ini iaitu jemputan orang kenamaan (diketuai ketua jabatan peringkat negeri), pasukan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan Pahang, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan negeri, selain pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta negeri serta komuniti (pengundi DUN Chini).
Pemenang setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai antara RM700 hingga RM2,000 dan pingat serta syarat pertandingan ialah peserta berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia, anak kelahiran atau bekerja atau belajar di Pahang dengan yuran penyertaan sebanyak RM500 bagi setiap pasukan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di platform media sosial kerajaan negeri. Pendaftaran dibuka mulai hari ini sehingga 8 Mac ini.
-- BERNAMA