PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah

23/02/2026 10:01 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin, didorong oleh prestasi eksport yang lebih lemah apabila ringgit yang lebih kukuh memberi kesan kepada permintaan daripada negara pengimport utama, kata seorang pedagang. 

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata mata wang tempatan yang lebih kukuh telah menjejaskan minat belian dan memperlahankan kadar penghantaran. 

“Data eksport yang lebih perlahan meningkatkan kebimbangan mengenai prospek permintaan jangka pendek, terutamanya daripada pasaran utama seperti China dan India,” katanya kepada Bernama. 

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 3.8885/8925 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 3.8995/9055 ketika ditutup pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kepada Bernama bahawa prestasi eksport minyak sawit Malaysia dari 1 Februari hingga 20 Februari 2026 telah menjejaskan harga MSM. 

“Eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 Februari hingga 20 Februari mengikut anggaran Intertek Testing Services (ITS) berada pada 863,358 tan, susut 8.92 peratus dan mengikut AmSpec pada 779,834 tan, turun 12.62 peratus daripada anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Januari 2026,” katanya. 

Beliau menambah bahawa sentimen juga terjejas oleh momentum penurunan yang berterusan sejak Jumaat berikutan pembubaran jangka panjang dalam niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Pada penutup, kontrak Mac 2026 susut RM12 kepada RM4,051 setan, April 2026 berkurang RM6 kepada RM4,081 dan Mei 2026 turun RM9 kepada RM4,083.

Kontrak Jun 2026 merosot RM14 kepada RM4,082 setan, manakala Julai 2026 dan Ogos 2026 susut RM26 masing-masing kepada RM4,074 dan RM4,073. 

Jumlah dagangan turun kepada 62,122 lot daripada 81,717 pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 221,427 kontrak daripada 228,011 sebelumnya. 

Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan kekal tidak berubah pada RM4,100 setan. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526838