Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Acara kreatif RIUH kembali dengan edisi khas RIUH Raya Baik-Baik di Raintree Plaza @ Tun Razak Exchange (TRX) di sini dari 25 Feb hingga 1 Mac ini, menghimpunkan komuniti, usahawan tempatan serta penggiat seni dalam satu platform menjelang Aidilfitri.
Kumpulan MyCreative Ventures dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara itu dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung sepanjang penganjurannya sebagai ruang pertemuan komuniti menjelang Syawal.
“Bertemakan ‘Kampung Kita’, acara yang berlangsung dari 3 petang hingga 3 pagi itu menghimpunkan lebih 110 jenama tempatan merangkumi makanan dan minuman, pakaian serta produk kreatif,” menurut kenyataan itu.
Turut diadakan persembahan artis tempatan seperti Aisha Retno, Ramayan dan Langkasuka serta bengkel kreatif percuma yang terbuka kepada orang ramai.
Kenyataan itu memaklumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil sebagai rakan strategik edisi kali ini bertujuan mendekati komuniti kreatif dan pengunjung dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai perancangan kewangan dan kepentingan simpanan persaraan.
“Selain memperkasakan usahawan, penglibatan KWSP turut menekankan usaha bagi meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan kewangan yang mampan dan berhemah,” menurut MyCreative Ventures.
Melalui kolaborasi itu, RIUH terus memperkukuh peranannya sebagai platform yang menyatukan seni, kreatif dan komuniti di samping menyokong pertumbuhan ekonomi kreatif tempatan.
Orang ramai boleh melayari Facebook, Instagram dan TikTok @riuhinthecity serta @mycreativeventures bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai RIUH Raya Baik-Baik.
-- BERNAMA