EKONOMI

Permintaan Domestik, Pertumbuhan Eksport Pacu KDNK Malaysia 2026 Pada 4.5-4.7 Peratus

16/02/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bank pelaburan dan firma penyelidikan melaksanakan semakan semula atau mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 mereka kepada antara 4.5 peratus hingga 4.7 peratus, dipacu oleh permintaan domestik dan pertumbuhan eksport yang lebih kukuh, serta realisasi pelaburan yang berterusan.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4.5 peratus, dengan potensi kenaikan ke arah 5.0 peratus sekiranya momentum semasa berterusan, dengan permintaan domestik dijangka menjadi tunjang pertumbuhan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, pendapatan isi rumah yang meningkat dan bantuan bersasar yang berterusan.

“Sektor perkhidmatan, khususnya pelancongan, dijangka mencatat peningkatan kukuh apabila kapasiti dipertingkatkan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Momentum pelaburan seharusnya kekal kukuh dengan pelancaran beberapa projek di bawah rangka kerja utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Rangka Kerja Negara AI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, Apex Securities Bhd berkata ia menyemak semula unjuran KDNK 2026 kepada 4.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada 4.3 peratus, didorong oleh momentum pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh pada suku keempat (S4) 2025.

Di peringkat domestik, ia berkata ketibaan pelancong yang lebih kukuh di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping sokongan dasar berterusan untuk isi rumah berpendapatan rendah, dijangka mengekalkan penggunaan swasta yang berdaya tahan.

“Sementara itu, pelaburan yang diterajui oleh pengembangan pusat data yang berterusan dijangka menjana limpahan positif kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi termasuk perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” kata firma itu.

Bagi Hong Leong Investment Bank Bhd pula, ia turut menyemak naik unjuran KDNK 2026 kepada 4.7 peratus dan menjangkakan permintaan domestik kekal sebagai enjin pertumbuhan utama, disokong oleh pasaran pekerjaan yang sihat, langkah-langkah dasar yang menyokong dan aktiviti pelaburan yang berterusan.

“Faktor-faktor yang menaikkan unjuran itu termasuk ketidaktentuan dasar global yang semakin berkurangan dan permintaan barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Bagaimanapun, risiko penurunan masih kekal, berpunca daripada trend perlindungan perdagangan yang meningkat dan permintaan luaran yang lebih lemah,” katanya.

Mengulas dasar monetari, firma penyelidikan dan bank pelaburan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524600