AM

Lawatan Modi Ke Malaysia Pacu Perdagangan, Pelancongan Dan Ekonomi Negara - Fahmi

13/02/2026 03:28 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia baru-baru ini, membawa impak positif kepada negara dari segi perdagangan, pelancongan dan ekonomi, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini telah memaklumkan hasil lawatan rasmi berkenaan yang menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani, sekali gus memperlihatkan hubungan erat antara Malaysia dan India.

“Kita jangka limpahan sama ada dari segi pelancongan mahupun ekonomi akan memberi kesan positif kepada Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Modi mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Anwar bermula 7 Feb lepas, yang menyaksikan pertukaran 11 MoU serta dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.

Hubungan ekonomi Malaysia-India terus menunjukkan momentum kukuh dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (US$18.59 bilion) pada 2025.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mahu warga radio sentiasa memastikan komunikasi berkesan dengan menyampaikan maklumat yang bermanfaat dan tepat serta menyediakan hiburan berkualiti kepada pendengar.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan radio terus menjadi medium yang dipercayai dalam menyatukan masyarakat serta memperkukuh kefahaman dan keharmonian sejagat.

“Sempena Hari Radio Sedunia, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga radio. Terima kasih kepada semua petugas,” katanya.

Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Feb setiap tahun, dengan tema sambutan kali ini, “Radio dan Kecerdasan Buatan (AI)”.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523638