AM

Dua Hospital Swasta Baharu Bakal Pacu Sektor Pelancongan Kesihatan Melaka - Ketua Menteri

13/02/2026 04:11 PM

MELAKA, 13 Feb (Bernama) -- Dua hospital pakar swasta, Putra Specialist Hospital 2 dan Brain and Spine Hospital yang akan dibina di Ayer Keroh dengan kos pembinaan sebanyak RM678 juta bakal memacu sektor pelancongan kesihatan Melaka pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata hospital berkenaan yang akan dibangunkan di kawasan dikenali sebagai Kota Kesihatan di tapak seluas 9.99 hektar itu dijangka siap pada 2029. 

"Perkembangan industri pelancongan kesihatan di Melaka begitu membanggakan dengan kehadiran lebih 10,000 orang ke negeri ini termasuk dari negara jiran untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Ini sekali gus memberi satu idea baharu supaya pelaburan dalam industri perubatan ini diperluaskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pecah tanah pembangunan kedua-dua hospital itu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Melaka Corporation (MCorp) selaku pemilik projek kepada pengendali utama hospital berkenaan serta penyerahan Surat Niat (LOI) kepada MRCB Builders Sdn Bhd, anak syarikat milikan penuh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk menggariskan skop cadangan reka dan bina projek itu.

Ab Rauf berkata ini merupakan perkembangan baik dalam industri kesihatan yang perlu diambil kesempatan oleh Melaka untuk memperluaskan lagi kaedah perubatan kepakaran kepada mereka yang memerlukan.

Selain pembinaan dua hospital swasta berkenaan, Kota Kesihatan itu akan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain antaranya residensi, hotel dan pusat perniagaan bagi menyokong pembangunan projek tersebut.

Beliau berkata dengan pertambahan dua lagi hospital ini, akan menjadikan jumlah keseluruhan hospital swasta di Melaka sebanyak enam buah.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523614