EKONOMI

Polymer Link Sasar Pertumbuhan Di Australia Selepas Buka Kemudahan Gudang Baharu

12/02/2026 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pengeluar serbuk plastik, Polymer Link Holdings Bhd menyasarkan pertumbuhan di Australia susulan penyewaan kemudahan gudang baharu di sana.

Pengawal kewangan kumpulan Jun Low berkata gudang baharu di Brisbane itu dijangka memulakan operasi dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

"Dengan adanya gudang ini, kami yakin dapat memperluas pangkalan pelanggan kami di kawasan berkenaan dan itu akan menjadi satu daripada pendorong untuk meningkatkan pendapatan syarikat," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Kevin Koh berkata kemudahan ini akan membolehkan syarikat memenuhi keperluan pengacuan putaran lebih kecil yang sebelum ini tidak dapat menerima penghantaran kontena penuh.

"Dengan gudang baharu ini, syarikat dapat mengakses segmen pelanggan baharu kerana pemain yang lebih kecil walaupun membeli dalam kuantiti yang lebih kecil, namun membuat pesanan yang lebih kerap yang secara keseluruhannya boleh melebihi jumlah pembeli yang lebih besar," katanya.

Syarikat ini sudah pun mengendalikan kemudahan di Melbourne dan Sydney.

Di Eropah, Koh berkata walaupun jualan ke Poland menurun pada tahun kewangan 2025, syarikat terus melihat negara itu sebagai titik masuk strategik ke pasaran Eropah.

"Pelanggan sebelum ini di Poland diperkenalkan kepada kami oleh pemilik jenama yang berkembang ke pasaran Eropah. Terdapat beberapa penstrukturan semula mengenai sama ada operasi akan berpusat di Poland atau Mexico yang menyebabkan perubahan dalam jumlah pesanan.

"Namun, kami terus menganggap Poland sebagai platform strategik untuk memasuki Eropah. Anggaran industri menunjukkan terdapat sekitar 60 hingga 70 pengacauan putaran yang tertumpu di Poland," katanya.

Koh juga berkata iaitu kos operasi di Poland agak lebih rendah berbanding di Jerman.

Beliau menambah pasaran Eropah dipacu oleh faktor teknikal yang seiring dengan pendekatan syarikat yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ramai pelanggan di sana memerlukan polimer teknikal yang sesuai dengan keupayaan kami. Itulah sebabnya kami mengenal pasti pasaran ini sebagai pasaran utama untuk pengembangan," katanya.

Mengenai cabaran, Koh berkata kumpulan itu mengekalkan perancangan sokongan di seluruh operasinya.

Katanya kira-kira 95 peratus daripada pendapatannya berorientasikan eksport.

"Jika satu kilang terjejas, kami boleh memindahkan pengeluaran ke kemudahan lain untuk memastikan bekalan diteruskan. Kehilangan satu jadual penghantaran pun boleh mencetuskan kesan domino, jadi kami merancang operasi kami dengan sewajarnya," katanya.

Ditubuhkan pada 2011 dan beribu pejabat di Klang, Selangor, Polymer Link beroperasi di Malaysia, Filipina, India, Amerika Syarikat dan Australia serta memberi perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsa dengan lebih daripada 10 negara.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523226