PASARAN

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

12/02/2026 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia merosot kepada 0.36 peratus pada tengah hari, diheret turun oleh Maybank, CIMB dan 99 Speed Mart.

Maybank susut lapan sen kepada RM12.18, CIMB merosot tujuh sen kepada RM8.52 dan 99 Speed Mart berkurangan enam sen kepada RM3.95.

Tiga kaunter ini mengheret turun indeks komposit dengan gabungan mata sebanyak 3.88 mata.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 6.39 mata kepada 1,750.0 daripada 1,756.39 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.12 mata lebih rendah kepada 1,755.09 dan bergerak di antara 1,749.70 dengan 1,758.06 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 514 berbanding 388 manakala 498 kaunter tidak berubah, 1,296 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion unit bernilai RM1.25 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata FBMKLCI meneruskan momentum menaiknya dan diniagakan lebih tinggi semalam.

Bagaimanapun, ia berkata petunjuk teknikal menunjukkan bahawa momentum masih lemah, justeru ia melihat paras rintangan pada sekitar 1,771–1,776, paras sokongan pula pada 1,736–1,741.

“Memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir dan ringgit yang semakin kukuh, kami percaya sentimen akan memihak kepada PADINI dan AEON, mewajarkan lonjakan melepasi paras rintangan semalam,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM13.98, IHH susut satu sen kepada RM8.74 dan Press Metal merosot lima sen kepada RM7.70, bagaimanapun SD Guthrie naik satu sen kepada RM5.81.

Bagi saham aktif, Kee Ming yang mula disenaraikan naik 47.5 sen kepada 85.5 sen dan Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 83 sen, manakala Pharmaniaga turun satu sen kepada 31.5 sen dan Borneo Oil merosot 0.5 sen kepada setengan sen.

Saham paling rugi menyaksikan Nestle merosot 70 sen kepada RM110.60, United Plantations turun 62 sen kepada RM29.58 dan Hong Leong berkurangan 12 sen kepada RM24.68.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menguncup 30.51 mata kepada 12,625.10, Indeks FBM Emas turun 28.59 mata kepada 12,800.18, Indeks FBM Emas Shariah merosot 12.81 mata kepada 12,249.62, Indeks Mid FBM 70 menokok 27.84 mata kepada 17,585.13 dan Indeks FBM ACE menambah 9.08 mata kepada 4,759.57. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 90.34 mata kepada 21,780.04, Indek Perladangan susut 19.97 mata kepada 8,365.92, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian merosot 0.05 mata kepada 176.46 manakala Indeks Tenaga menambah 2.21 mata kepada 751.30. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523158