Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata sebuah firma pembrokeran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.85 mata atau 0.51 peratus kepada 1,756.39 berbanding penutup Selasa pada 1,747.54.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.69 mata lebih tinggi pada 1,751.23 sebelum susut serendah 1,745.51 pada awal dagangan dan mencecah paras tertinggi 1,757.15 pada sesi pertengahan petang.
Sentimen pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 474, manakala 549 kaunter tidak berubah, 1,087 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.55 bilion unit bernilai RM3.06 bilion berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM2.35 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup tinggi susulan sentimen yang bertambah baik di tengah-tengah pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Selain itu, data jualan AS yang lemah dijangka mendorong Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah, sekali gus menyokong sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata, pasaran tempatan terus mengekalkan momentum positif dalam dagangan, disokong minat belian yang berterusan serta sentimen pelabur yang kukuh.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,770 bagi baki minggu ini,” katanya.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih kukuh pada 1,756.39 apabila pasaran meneruskan momentum pemulihan.
"Indeks penanda aras diniagakan kukuh sepanjang sesi, meneruskan pemulihan semalam dan ditutup menghampiri paras tertinggi harian.
"Ini sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang bertambah baik dengan minat belian kekal sehingga jam terakhir dagangan," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 26 sen kepada RM12.26, Public Bank naik tiga sen kepada RM5.14, CIMB menambah empat sen kepada RM8.59, IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.75, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.
Bagi kaunter paling aktif, Pharmaniaga naik dua sen kepada 32.5 sen, Tanco meningkat satu sen kepada RM1.38, Zetrix AI bertambah tiga sen kepada 81.5 sen, TWL susut setengah sen kepada dua sen dan Velesto Energy tidak berubah pada 31 sen.
Antara kaunter paling untung, Hong Leong Industries melonjak 76 sen kepada RM18.20, KSL meningkat 23 sen kepada RM3.28, LPI Capital dan United Plantations masing-masing naik 20 sen kepada RM15.38 dan RM30.20, manakala UMS Integration menambah 18 sen kepada RM4.26.
Kaunter paling rugi pula Malaysian Pacific Industries merosot RM1.40 kepada RM30.80, Fraser & Neave susut 88 sen kepada RM32.30, Nestle turun 70 sen kepada RM111.30, BLD Plantation berkurangan 24 sen kepada RM15.30 dan Hong Leong Bank jatuh 18 sen kepada RM24.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 56.92 mata kepada 12,655.61, Indeks FBM Emas naik 57.20 mata kepada 12,828.77, Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.16 mata kepada 12,262.43, Indeks FBM Mid 70 meningkat 47.88 mata kepada 17,557.29, manakala Indeks FBM ACE bertambah 1.73 mata kepada 4,750.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 158.29 mata kepada 21,870.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.20 mata kepada 176.51, Indeks Tenaga naik 5.60 mata kepada 749.39 dan Indeks Perladangan menambah 2.79 mata kepada 8,385.89.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.85 bilion berbanding 1.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 642.03 juta unit bernilai RM71.90 juta berbanding 588.48 juta unit bernilai RM61.42 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 413.84 juta unit bernilai RM144 juta berbanding 420.31 juta unit bernilai RM153.31 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.69 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (272.98 juta), pembinaan (150.45 juta), teknologi (140.58 juta), perkhidmatan kewangan (132.38 juta), hartanah (210.57 juta), perladangan (23.84 juta), amanah pelaburan hartanah (30.14 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (102.40 juta), penjagaan kesihatan (120.81 juta), telekomunikasi dan media (49.45 juta), pengangkutan dan logistik (31.03 juta), utiliti (33.13 juta) serta amanah perniagaan (368,400).
-- BERNAMA