AM

Paya Melong Menongkah Arus, Jadi Satu-satunya Kawasan Tanaman Padi Di Dungun

12/02/2026 11:51 AM

DUNGUN, 12 Feb (Bernama) -- Di sebalik perubahan arus semasa yang menyaksikan banyak kawasan pertanian bertukar wajah ekoran kepesatan pembangunan, Projek Kelompok Sawah Paya Melong di Kampung Minda, dekat sini kekal menjadi satu-satunya kawasan tanaman padi yang masih aktif diusahakan di Dungun.

Tanah seluas 36 hektar itu diusahakan 34 peserta dengan kebanyakannya dalam kalangan warga emas yang masih gigih meneruskan penanaman itu.

Ketua Projek Kelompok Sawah Paya Melong, Mohamad Ngah, 60, berkata peserta yang juga penduduk Kampung Minda mula meneroka kawasan sawah berkenaan pada 1975 bagi menanam padi bukit dan kemudian dimajukan secara berkelompok pada 1990 hingga kini.

"Peserta bersepakat meneruskan tanaman padi walaupun kesemua kawasan sawah di daerah Dungun kini sama ada tidak diusahakan lagi, ditinggalkan terbiar, diusahakan tanaman lain atau dibangunkan kawasan perumahan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setiap peserta mengusahakan tanaman di tanah milik masing-masing seluas antara 0.4 hingga satu hektar. 

Mohamad berkata pada masa ini peserta masih kekal menanam padi sekali setahun dan pekerjaan itu dilakukan secara sampingan memandangkan rata-rata mereka mempunyai pekerjaan lain termasuk menoreh getah, menanam pisang dan mencari hasil hutan. 

Beliau berkata bagi musim baharu ini, peserta telah memulakan kerja-kerja menabur benih pada Isnin lepas dan dijangka selesai minggu hadapan serta kerja-kerja lain seperti membaja dan meracun.

Kebiasaannya hasil padi dapat dituai dalam tempoh 110 hingga 120 hari selepas baja ditabur.

"Pada tahun ini kami menabur benih padi varieti MARDI SIRAJ 297 kerana mengeluarkan hasil lebih tinggi dan tahan lasak daripada serangan penyakit," katanya.

Menurut Mohamad, projek itu mendapat sokongan daripada Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membimbing peserta dalam aspek teknikal dan pengurusan pengairan.

Beliau berkata pada setiap tahun peserta dapat menuai hasil padi keseluruhan kira-kira 100 tan metrik dengan harga bagi satu tan metrik kira-kira RM1,500.

Seorang peserta, Norihan Hamzah, 66, berkata dia dan suami Abdul Wahab Kassim, 74, mula menanam padi di kawasan sawah itu sejak 50 tahun lepas.

Kawasan yang diusahakan itu, katanya seluas 0.8 hektar dan hasil yang diperoleh kira-kira satu hingga dua tan metrik bagi satu musim dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000.

Norihan turut melahirkan rasa bimbang sekiranya aktiviti penanaman padi di kawasan Paya Melong akan terhenti satu hari nanti berikutan tiada golongan muda di kampung tersebut berminat untuk mengusahakannya, termasuk sembilan anaknya yang berusia 30 hingga 50 tahun. 

"Mungkin kerana pendapatan yang tidak seberapa dan terpaksa bekerja di bawah panas matahari membuatkan mereka tidak berminat, tetapi saya sangat mengharapkan kawasan sawah di Paya Melong ini akan kekal diusahakan oleh generasi muda dengan penggunaan teknologi baharu," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523087