AM

Hasil Penjimatan BUDI95, Peningkatan Gaji Seiring Kemahiran Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

11/02/2026 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Hasil penjimatan diraih kerajaan susulan pelaksanaan Budi MADANI RON95 (BUDI95), kemajuan ekonomi Pantai Timur dan kadar gaji tenaga kerja tempatan antara isu yang bakal dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang tahun lepas serta unjuran penjimatan bagi tahun ini, pada sesi soal jawab lisan.

Beliau juga ingin tahu bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat serta memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) pula bertanya kepada Menteri Ekonomi mengenai perancangan kerajaan dalam memastikan kemajuan ekonomi rakyat serta negeri di Pantai Timur terus dipertingkat bagi mengimbangi kepesatan pembangunan di Pantai Barat.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mahu Menteri Sumber Manusia memperincikan strategi kementerian dalam memperkukuh kerjasama dengan institusi latihan dan sektor swasta bagi memastikan peningkatan gaji seiring peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.

Turut tersenarai soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai program Felo Perdana, sama ada ia telah ditangguhkan pelaksanaannya dan apakah kementerian berhasrat untuk mewujudkan program baharu yang lebih baik modulnya.

Selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Menteri Kewangan dan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522550