KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kerajaan menegaskan bahawa tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kini beralih daripada sekadar menetapkan sasaran pertumbuhan kepada pelaksanaan mekanisme yang lebih efektif.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah ini bagi memastikan setiap dasar ekonomi yang dijalankan tidak menjadi bersifat 'kaunter-produktif' atau memudaratkan kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.
“Maka sebab itu RMK-13 memang kita tumpukan kepada soal pelaksanaan supaya dasar ataupun dasar yang kerajaan guna pakai ini akan mengisi kelopongan dan juga memastikan dari segi tahap yang disebut sebagai "menaikkan lantai" itu juga kita pelihara dengan sebaik mungkin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai usaha kerajaan dalam 'menaikkan lantai' atau meningkatkan pendapatan rakyat, sama ada pekerja mahupun peniaga, bagi memperkukuh kuasa beli mereka.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai komitmen kerajaan memajukan ekonomi rakyat dan Pantai Timur, Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan memastikan pembangunan infrastruktur lebih seimbang antara Pantai Timur dan Pantai Barat melalui pengukuhan logistik, mobiliti rakyat, dan akses utiliti.
Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang jajaran tersebut, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan logistik dan memacu pertumbuhan industri di wilayah Pantai Timur.
“Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan, termasuk melalui pengoperasian Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Pembangunan Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) dan Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing.
“Selain itu, tarikan pelancongan baharu diwujudkan melalui pembangunan projek seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Santuari Penyu Cherating, dan Pantai Geting. Kerajaan turut komited memastikan kemajuan ekonomi rakyat dan negeri Pantai Timur terus dipertingkat bagi mencapai pertumbuhan yang inklusif dan seimbang,” katanya.
-- BERNAMA