AM

RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 Diluluskan 

11/02/2026 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 dengan suara majoriti selepas dibahaskan 11 Ahli Parlimen.

RUU itu antara lain bertujuan menyokong usaha meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perjanjian penyelesaian yang terhasil daripada pengantara atau lebih dikenali Konvensyen Singapura, yang ditandatangani Malaysia pada 2019.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata RUU itu penting sebagai langkah strategik Kerajaan MADANI untuk memperkasakan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR), berbanding hanya bergantung pada proses perundangan di mahkamah semata-mata.

Beliau berkata ketika ini, Akta Pengantaraan 2012 [Akta 749] hanya digunakan untuk menyelesaikan tuntutan dan pertikaian bagi kes domestik seperti tuntutan insurans kemalangan, pertikaian membabitkan hal ehwal rumah tangga seperti tuntutan nafkah dan hadhanah, tuntutan membabitkan fitnah, pertikaian komersial melibatkan kontrak serta harta intelek.

"Akta itu juga boleh diguna pakai untuk kes antarabangsa, namun tiada penguatkuasaan boleh dilaksanakan, selain perjanjian penyelesaian dicapai di bawah pengantaraan hanya bersifat mengikat pihak-pihak (terlibat) dan hanya boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang kontrak. 

"Justeru, usaha ini ialah lambang komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menyokong peranan pengantaraan dalam menyelesaikan pertikaian rentas sempadan,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini. 

Kulasegaran berkata konvensyen itu menyediakan satu kerangka kerja yang harmoni untuk penguatkuasaan dan kebolehterimaan penggunaan perjanjian penyelesaian antarabangsa yang dimeterai pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian komersial terhasil daripada pengantaraan.

RUU itu juga bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang yang perlu bagi melaksanakan kewajipan di bawah konvensyen dan memudahkan penguatkuasaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia.

Katanya, perkara ini akan menggalakkan penggunaan pengantaraan sebagai suatu cara yang berkesan untuk menyelesaikan pertikaian komersial antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522860