GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Jalan Jip di Taman Botani Pulau Pinang di sini akan ditutup sementara kepada aktiviti mendaki dan berbasikal dari Isnin hingga Sabtu, bermula 2 Mac hingga 31 Dis 2026.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu bagi memastikan keselamatan awam susulan penggunaan Jalan Jip oleh kenderaan berat sepanjang tempoh pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera dan Pembangunan Semula Astaka Bukit Bendera.
"Penutupan ini merupakan langkah berjaga-jaga dan bagi memastikan tiada insiden keselamatan serta membolehkan kerja-kerja berjalan dengan lancar.
"PBBPP amat menghargai kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan semua pengguna jalan tersebut sepanjang tempoh ini," menurut kenyataan itu.
Projek Kereta Kabel Bukit Bendera akan melibatkan laluan sepanjang 2.73 kilometer dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak Bukit Bendera, dengan tiga stesen utama, iaitu Garden Station di kaki bukit, Turn Station di pertengahan laluan dan Hill Station di puncak.
Projek itu turut merangkumi pembinaan tempat letak kereta bertingkat, plaza komersial di hadapan Jabatan Taman Botani serta ruang parkir khas untuk bas.
-- BERNAMA