EKONOMI

Khazanah Sasar Lipat Ganda Aspek Kesalinghubungan, Peralihan Tenaga Pada 2026

10/02/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd berhasrat melipatgandakan lagi usaha membabitkan sektor strategik pada 2026 dengan menumpukan aspek kesalinghubungan, peralihan tenaga selain meningkatkan prestasi portfolio sedia ada.

Ketika berkongsi perancangan itu, Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata dana kekayaan berkenaan perlu melaksanakan usaha signifikan di lapangan terbang dan syarikat penerbangan.

Pada masa sama, sektor peralihan tenaga menyaksikan Khazanah menumpukan daya tahan grid, tenaga boleh baharu (TBB) serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan, termasuk projek oleh Tenaga Nasional Bhd, katanya.

“Ini merupakan bidang yang kami boleh bekerjasama dengan pihak lain untuk meninjau apa lagi yang boleh dilakukan demi (manfaat) negara. Usaha mewujudkan impak itu kekal menjadi fokus utama di semua sektor dan menjadi perancangan untuk dipercepatkan,” katanya pada sesi taklimat media Ulasan Tahunan Khazanah 2026 yang memaparkan prestasi tahunan dana kekayaan negara itu di sini, hari ini.

Di bawah tonggak kesalinghubungan dalam strategi pelaburan Malaysia, Khazanah melaksanakan dua inisiatif utama, termasuk menyelesaikan penyusunan semula Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dengan usaha transformasi sedang dijalankan bagi mengukuhkan kesalinghubungan serta daya saing global Malaysia.

Amirul Feisal berkata usaha berkenaan juga telah menunjukkan hasil positif apabila aliran pergerakan penumpang meningkat 11.2 peratus bagi tahun ke tahun kepada 104.4 juta, didorong oleh kehadiran 15 syarikat penerbangan baharu yang beroperasi di negara ini.

Mengulas strategi berkaitan lapangan terbang itu, beliau berkata sebahagian besar daripada pelan terbabit sudah dibincangkan dengan tumpuan utama terhadap operasi domestik serta aset-aset sedia ada.

“(Kami menumpukan) usaha untuk meningkatkan lagi aset-aset semasa agar sejajar dengan tahap lebih baik dan mengembangkan rangkaian. Dalam persekitaran geopolitik semasa, kebanyakan negara mahu menguatkuasakan dasar-dasar pelaburan.

“Kami (sebaliknya) tidak melihat ini sebagai persaingan kerana kebanyakan pelabur jangka panjang dan berdisiplin ini, terutama dana kekayaan berdaulat yang lebih pentingkan pulangan jangka panjang,” katanya.

Menyentuh pengukuhan ringgit, Amirul Feisal menegaskan strategi domestik kekal penting memandangkan pemegang kepentingan menerima pulangan dalam mata wang berkenaan.

“Bagi pelaburan global, kami mempunyai lindung nilai semula jadi dengan sebahagian pembiayaan dalam dolar Amerika Syarikat untuk aset luar negara yang dapat membantu menguruskan risiko mata wang.

“Apa yang utama, tumpuan kami kekal untuk memberi pulangan positif dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522296