SUKAN

Zaidatul Husniah Belum Terdetik Gantung Spike

09/02/2026 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pelari pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli belum bersedia mengumumkan persaraannya daripada sukan itu dalam masa terdekat.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) wanita itu berkata tumpuan kini adalah kepada pemulihan kecederaan hamstring yang dialaminya semasa Sukan SEA Thailand, tahun lepas.

Beliau berharap proses pemulihan berjalan lancar, sekali gus membolehkannya kembali ke trek selewat-lewatnya pertengahan Mac ini.

“Memang fokus ketika ini untuk pulihkan kecederaan hamstring. Selepas itu pulih dan kuatkan kaki sebelum kembali beraksi. 

“Ketika ini saya bukan sahaja atlet tetapi juga seorang jurulatih di sekolah sukan. Jadi mahu atau tidak, saya perlu betul-betul pulih sebelum kembali ke trek,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zaidatul Husniah atau mesra disapa ‘Adik’ terpaksa menarik diri daripada acara 4x100m wanita semasa temasya dwitahun itu selepas mengalami kecederaan hamstring, sekali gus menyaksikan kuartet negara menarik diri daripada acara itu.

Mengenai Sukan SEA 2027, Zaidatul Husniah berharap dapat beraksi di gelanggang sendiri namun ia bergantung kepada situasi semasa.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521807