DUNIA

Menyusur DMZ: Meneroka Perjalanan Korea Selatan Daripada Konflik Kepada Inovasi

11/02/2026 02:15 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Menyusur di sepanjang laluan yang sunyi berhampiran satu daripada sempadan paling berkubu di dunia, sukar untuk membayangkan bahawa landskap yang tenang itu pernah menjadi pusat kepada konflik yang dahsyat.

Namun, itu merupakan antara pengalaman berbeza yang dialami oleh wartawan asing yang menyertai Program Jemputan Wartawan Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (MCST) Korea Selatan baru-baru ini.

Program itu memberi peluang kepada wartawan meneroka negara berkenaan melangkaui tajuk berita, dengan menggabungkan taklimat dasar, penghayatan budaya, perspektif keselamatan dan inovasi industri dalam satu perjalanan.

Program berkenaan bermula di Pusat Perkhidmatan Kebudayaan dan Maklumat Korea (KOCIS), sebuah institusi di bawah MCST yang bertanggungjawab mempromosikan budaya Korea Selatan serta memudahkan pelaporan antarabangsa yang tepat. Wartawan kemudiannya diperkenalkan kepada pendekatan Korea Selatan terhadap diplomasi awam dan penekanannya terhadap penglibatan telus dengan media asing.

Libat urus itu diteruskan menerusi perbincangan di Institut Analisis Pertahanan Korea (KIDA) di Dongdaemun-gu, Seoul, apabila kumpulan pemikir pertahanan utama itu memberikan konteks mengenai cabaran keselamatan serantau dan hubungan antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Walaupun analisis yang dibentangkan bersifat strategik, perbincangan itu berulang kali menekankan mesej utama bahawa keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea kekal sebagai aspirasi nasional jangka panjang.

Aspek paling menyentuh perasaan dalam program itu terserlah ketika perjalanan ke Goseong, yang terletak berhampiran bahagian timur Zon Bebas Tentera (DMZ), kira-kira dua jam setengah perjalanan dari Seoul.

Di Laluan Keamanan DMZ Goseong, wartawan menyusuri laluan selama satu jam dari Balai Cerap Pesisir melalui Terowong Tongjeon ke Garisan Had Selatan, dengan ketenangan alam semula jadi di sekelilingnya sangat berbeza dengan sejarah peperangan kawasan itu.

Kesunyian di sepanjang laluan berkenaan mengundang renungan terhadap konflik masa lalu serta keamanan rapuh yang wujud pada hari ini.

Dari Balai Cerap Penyatuan Goseong, peserta melihat ke seberang sempadan ke Korea Utara. Bagi kebanyakan mereka, detik itu cukup menyedarkan, apabila isu geopolitik yang sebelum ini bersifat abstrak berubah menjadi realiti kemanusiaan yang nyata.

Naratif sejarah diteruskan di Muzium DMZ Goseong, apabila lawatan berpandu oleh petugas muzium mengetengahkan legasi berpanjangan Perang Korea. Pameran yang menampilkan kisah peribadi dan artifak menekankan bagaimana perpecahan telah membentuk kehidupan generasi di kedua-dua belah sempadan.

DMZ yang menjangkau kira-kira 250 kilometer di sepanjang Semenanjung Korea merupakan antara sempadan paling ketat dikawal di dunia, memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan.

Walaupun diwujudkan pada 1953 selepas perjanjian gencatan senjata Perang Korea bagi mengelakkan pertempuran lanjut, DMZ kekal diperkukuh dengan kehadiran tentera yang besar di kedua-dua belah pihak.

Memandangkan perang itu berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai, DMZ terus menjadi peringatan jelas bahawa Korea Selatan dan Korea Utara secara teknikalnya masih berperang. Sepanjang beberapa dekad, zon itu menyaksikan ketegangan ketenteraan dan konfrontasi singkat, mencerminkan keamanan yang masih rapuh dan tidak menentu.

Bagi kebanyakan rakyat Korea Selatan, DMZ merupakan perkara yang sangat peribadi kerana ia memisahkan keluarga dalam sekelip mata, meninggalkan ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak di pihak yang bertentangan. Hari ini, warga emas yang terselamat masih bercerita tentang insan tersayang yang tidak pernah mereka temui lagi, menyimpan gambar lama dan kenangan sebagai peringatan senyap terhadap kehilangan yang dialami.

Dengan pembangunan yang sangat terhad, alam semula jadi telah mengambil alih kawasan itu, dengan hutan dan tanah lembap berkembang subur. Burung-burung jarang ditemui dan haiwan terancam kini bebas berkeliaran, menjadikan DMZ sebagai kawasan perlindungan hidupan liar yang tidak disangka hasil pemisahan selama beberapa dekad.

Kini sebahagiannya dibuka untuk pelancongan terkawal, DMZ menarik pengunjung dari seluruh dunia. Di sebalik pagar dan menara peninjau tersimpan kisah penuh penderitaan, ketabahan dan harapan, yang mengingatkan pengunjung bahawa keamanan, apabila dicapai, bukan sekadar matlamat politik tetapi suatu keperluan kemanusiaan yang mendalam.

Selain sejarah dan keselamatan, program itu turut menonjolkan keupayaan teknologi dan industri Korea Selatan. Lawatan ke syarikat-syarikat terkemuka memperlihatkan peranan negara itu sebagai pemain global dalam industri pertahanan, aeroangkasa dan industri berat.

Di Hanwha Ocean di Geoje, wartawan memerhatikan proses pembinaan kapal yang canggih, manakala lawatan ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon, Hyundai Rotem dan Hanwha Aerospace di Changwon, HD Hyundai Heavy Industries di Ulsan serta LIG Nex1 di Gumi memberikan gambaran tentang inovasi yang dipacu oleh bakat tempatan yang mahir.

Apabila program itu menghampiri penghujungnya, adalah jelas bahawa inisiatif MCST itu dirangka untuk menawarkan lebih daripada sekadar maklumat. Ia menyediakan konteks, perspektif dan hubungan kemanusiaan yang penting bagi pelaporan antarabangsa yang bermakna.

Bagi wartawan yang terlibat dalam program itu, pengalaman itu mengukuhkan pemahaman bahawa kisah Korea Selatan mengandungi gabungan unsur yang saling berlawanan: tradisi dan kemodenan, perpecahan dan harapan, kebimbangan keselamatan serta inovasi yang semuanya wujud bersama dalam sebuah negara yang terus membentuk kedudukannya di pentas global.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522695