KUCHING, 8 Feb (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan melibatkan rumah kebajikan palsu yang menuntut bayaran.
Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong menegaskan bahawa rumah kebajikan kerajaan tidak mengenakan sebarang yuran kemasukan.
Beliau berkata walaupun terdapat syarat kelayakan untuk individu yang mencari perlindungan atau kemasukan ke institusi kebajikan, pembayaran bukanlah satu daripadanya.
Berkongsi pengalaman peribadinya mengenai perkara tersebut, Nancy mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini telah dihubungi mengenai iklan yang mendakwa individu dikehendaki membayar yuran untuk diterima masuk ke rumah kebajikan.
“Baru semalam, seseorang bertanya kepada saya tentang rumah kebajikan. Ada iklan besar mengenainya kerana mereka mengatakan bahawa anda dikehendaki membayar yuran tertentu (untuk diterima masuk ke rumah kebajikan),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laman Web Persatuan Wanita India Sarawak di sini hari ini.
“Sudah tentunya ada syarat-syarat tertentu untuk orang yang diterima masuk ke tempat perlindungan dan juga berada di institusi lain. Jadi, jangan mudah takut dengan orang-orang ini (penipu),” katanya.
Nancy turut melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan bilangan kes serupa yang dilaporkan dan berharap perkara itu diambil serius dan disiasat dengan sewajarnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi kerajaan dan melaporkan sebarang iklan atau mesej yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
-- BERNAMA