KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kegiatan penipuan di Asia Tenggara kini berkembang daripada jenayah terpencil kepada operasi bersifat komersial oleh sindiket terancang yang digerakkan dengan tahap kecekapan dan perniagaan moden yang sah, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VIDA Group, Niki Luhur.
Dalam pembentangan bertajuk “Daripada Penipu Kepada Sindiket: Peningkatan Kegiatan Penipuan Komersial di Asia Tenggara”, beliau memperincikan bagaimana kecerdasan buatan (AI) secara asasnya membentuk semula ekonomi jenayah digital, mengautomasikan dan meningkatkan skala penipuan menjadi ancaman industri berstruktur.
"Jenayah penipuan pada hari ini bukan lagi tentang individu yang ingin mencari keuntungan dengan cepat, ia telah menjadi suatu perniagaan.
"Apabila jenayah beroperasi seperti sebuah industri, keselamatan tidak boleh bergantung pada andaian yang dibina untuk era yang berbeza,” katanya yang turut menggesa Malaysia memikirkan semula pertahanan penipuan era AI.
Beliau membuat pembentangan berkenaan sempena acara CISO Malaysia 2026 yang menghimpunkan Ketua-ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
VIDA ialah sebuah syarikat terkemuka di Indonesia dalam bidang identiti digital dan pencegahan penipuan, selain mendapat lesen daripada Lembaga Persijilan (CA) yang didaftarkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Republik Indonesia
Niki berkata ancaman yang berkuasa AI seperti serangan palsu dan penipuan identiti sintetik berkemampuan menjejaskan model keselamatan tradisional.
“Ia juga sejajar dengan keputusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan SMS OTP secara berperingkat menjelang Jun 2026, yang seterusnya menggariskan kekurangan pengesahan legasi dan memerlukan reka bentuk semula yang asas bagi strategi pertahanan untuk pemimpin perbankan,” menurutnya.
Beliau turut menekankan pertahanan identiti secara berlapis dan terkoordinasi kerana pencegahan penipuan yang berkesan memerlukan penyatuan penentusahan identiti, semakan integriti peranti, pengesanan keaslian dan pengesahan Prasarana Kunci Awam (PKI) ke dalam satu sistem yang mampu bertahan daripada serangan berasaskan AI berskala besar.
-- BERNAMA