Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Suasana pada petang hujung minggu di Astaka Taman Tasik Titiwangsa bertambah meriah apabila Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 menutup tirainya dengan sebuah konsert mini yang menampilkan barisan penyanyi tempatan, sekali gus menghiburkan ribuan pengunjung yang hadir.
Bermula sekitar pukul 3.40 petang, pentas HKI 2026 dimeriahkan dengan persembahan artis popular, antaranya Ismail Izzani, Kaka Azraff, Insomniacks, Kmy Kmo & Luca Sickta serta Leaism, dengan tirai persembahan dibuka oleh Leaism menerusi lagu Gerakkan Aku.
pic-2
Leaism atau nama sebenarnya Ilyahida berjaya mencuri perhatian penonton apabila turut mendendangkan lagu hit Datuk Sheila Majid, iaitu Sinaran yang diberi sentuhan baharu dengan susunan lebih segar sehingga mengundang nyanyian bersama pengunjung.
Suasana terus hangat apabila Ismail Izzani mengambil alih pentas dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Sabar dan Bidadari, sebelum disusuli kemunculan Kaka Azraff yang menghiburkan penonton dengan lagu Bukan Hal Aku, Bawaku Pergi serta Takleh Usik dan Arguments.
pic-3
Kaka turut mencuri tumpuan apabila memberi peluang kepada peminat untuk menyanyi bersamanya di atas pentas, sekali gus mencetuskan suasana santai dan penuh keceriaan dalam kalangan penonton.
Rentak persembahan kemudian bertukar lebih emosi apabila duo Kmy Kmo & Luca Sickta menguasai pentas menerusi lagu Gong Nekara, Ke Mana Ni dan Kertas Wangi, yang nyata menyentuh perasaan penonton.
pic-4
Dalam pada itu, Luca turut menyelitkan pesanan ringkas kepada pengunjung agar menggunakan kemudahan Internet secara berhemah dan bertanggungjawab supaya teknologi dimanfaatkan ke arah positif.
Kumpulan Insomniacks yang dianggotai Iqie, Iskandar dan Danial seterusnya tampil berkarisma di pentas, disambut sorakan peminat yang tidak sabar menyanyikan lagu kegemaran mereka.
pic-5
Trio itu menutup persembahan dengan lagu Reminisensi, Sempurna dan Pulang, sekali gus mengakhiri konsert mini HKI 2026.
Bertemakan Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab, HKI 2026 anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengetengahkan panduan praktikal ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak.
HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara, bertujuan mempromosikan penggunaan Internet secara selamat, bertanggungjawab dan positif, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.
-- BERNAMA